CEC DAP ambil tindakan wakil rakyat Sabah terima gelaran ‘datuk’


Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Fong Hin menerima anugerah Panglima Gemilang Darjah Kinabalu sempena Ulang Tahun Rasmi ke-70 Yang Dipertua Sabah Tun Juhar Mahiruddin, baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2023.

JAWATANKUASA Tertinggi Pusat (CEC) DAP akan mengenakan tindakan tegas terhadap dua pemimpinnya di Sabah kerana menerima gelaran “datuk” ketika masih berkhidmat sebagai wakil rakyat, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

Loke berkata tindakan terhadap dua pemimpin terbabit – Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Fong Hin dan Setiausaha DAP Sabah yang juga Adun Luyang Phoong Jin Zhe – kerana melanggar dasar parti, yang melarang ahlinya menerima gelaran dan anugerah ketika masih memegang jawatan.

“CEC DAP mengulangi pendirian kami semua wakil rakyat perlu fokus kepada berkhidmat untuk rakyat dan hanya boleh mempertimbangkan menerima anugerah selepas bersara,” kata Loke dalam satu kenyataan hari ini.

Awal bulan ini, Chan dan Phoong diberikan anugerah Panglima Gemilang Darjah Kinabalu sempena Ulang Tahun Rasmi ke-70 Yang Dipertua Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Loke berkata DAP menzahirkan kesyukuran kepada yang dipertua Sabah untuk darjah kebesaran yang diberikan dan parti akan terus menghormati institusi diraja menerusi khidmat kepada negara dan rakyat.

Pada 2018, DAP menetapkan pemimpin parti untuk menolak gelaran, anugerah, pingat dan darjah kebesaran ketika masih aktif dalam politik.

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang baru-baru ini menerima Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran “Tan Sri” sempena ulang tahun ke-64 Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

Beliau menerima anugerah itu selepas bersara sepenuhnya sebagai ahli politik. – 26 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen