113,472 jururawat diperlukan pada 2025


UNJURAN keperluan jururawat di sektor awam pada 2025 adalah sebanyak 113,472 orang, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam jawapan bertulis Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, beliau memaklumkan jumlah itu mengambil kira keperluan jururawat di fasiliti baharu dan unjuran atrisi jururawat yang meletakkan jawatan, bersara dan meninggal dunia serta jururawat yang berhijrah ke luar negara.

“Bagi memastikan bilangan jururawat mencukupi untuk memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan pengambilan pelatih Diploma Kejururawatan tajaan kementerian dinaikkan daripada 1,000 kepada 2,000 (jururawat) setiap tahun,” katanya.

Jawapan bertulis itu dibacakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi K.Saraswathy pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai sama ada khidmat jururawat tempatan buat masa ini mencukupi atau tidak dalam perkhidmatan kesihatan negara meliputi sektor kerajaan dan swasta. – Bernama, 26 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen