Penganut Hindu berang calon Umno Shah Alam sertai himpunan pijak kepala lembu


The Malaysian Insight

TINDAKAN calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Shah Alam Azhari Shaari menyertai perhimpunan membantah pembinaan kuil Hindu yang turut menyaksikan pesertanya memijak kepala lembu mendatangkan padah kepada beliau.

Beliau antara 12 peserta yang dikenakan denda sebanyak RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Gambar beliau bersebelahan gambar peserta perhimpuan tersebut kini sedang tular dalam kalangan penganut Hindu dan kebanyakan daripada mereka mempersoalkan siapa yang akan mengundi seorang calon yang tidak mempunyai sikap bertoleransi sebegitu.

Lembu dianggap haiwan suci bagi penganut Hindu.

Setakat ini, pihak kami gagal mendapatkan reaksi daripada Azhari dan Umno Selangor.

Penyandang Parlimen Shah Alam Khalid Samad enggan mengulas mengenai perkara tersebut namun berkata yang Azahari harus tampil menjelaskan mengenai dakwaan tersebut.

“Amat malang jika calon BN (bersikap) begitu. Tetapi jika ia benar, pengajaran di sini ialah ‘masa lampau akan sentiasa menghantaui anda’” kata Khalid.

13% daripada 107,316 pengundi di Shah Alam adalah terdiri daripada kaum India.

Gambar yang tular di media sosial itu adalah kejadian di mana sekumpulan individu memijak kepala lembu dalam satu perhimpunan haram di hadapan bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 2009.

Tidak dapat dipastikan sama ada Azhari antara individu yang memijak kepala lembu tersebut tetapi beliau antara yang dilihat menyertai kumpulan yang mahu kuil Hindu di Seksyen 19 dipindahkan ke Seksyen 23 Shah Alam.

Ekoran kekecohan tersebut, 12 lelaki didenda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam sementara dua lagi didakwa mengikut Akta Hasutan dan didenda RM3,000 dengan seorang daripadanya dikenakan hukuman penjara selama seminggu.

Selain Azhari antara individu lain yang didenda ialah Ahmad Mahayuddin Abdul Manaf, 36, Ibrahim Sabri, 43, Eyzva Ezhar Ramly, 31, Mohd Azmir Mohd Zain, 35, Ahmad Suhairy Zakaria, 30, Mohd Hilmi Ni, 40,.Jainuddin @ Zainuddin Md Yusuff, 67, Mohd Jurit Ramli, 39, Mohamad Nordin Zakaria, 46, Jamil Mohamad Isa, 40, dan Rahimuddin Md Harun, 39.

Eyzva Ezhar Ramly, didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 kerana “menghasut permusuhan kaum dengan membawa kepala lembu” bersama seorang lagi tertuduh, Mohd Azmir Mohd Zain. – 30 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen