Malaysia cadang sertai sesi lisan ICJ 2024, kemuka kenyataan isu Palestin 


Menteri Luar Dr Zambry Abdul Kadir berkata ia melambangkan komitmen negara dalam menyelesaikan konflik di Palestin.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2023.

MALAYSIA bercadang untuk menyertai sesi lisan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Febuari tahun hadapan bagi mengemukakan kenyataan untuk mendapatkan pendapat nasihat berhubung isu Palestin.

Menteri Luar Dr Zambry Abdul Kadir berkata penyertaan negara dalam proses mendapatkan pendapat nasihat di ICJ itu melambangkan komitmen negara dalam membantu mencari penyelesaian konflik di Palestin.

“Sebelum ini Malaysia telah mengambil bahagian dalam mengemukakan kenyataan bertulis bagi mendapatkan pendapat nasihat berhubung isu Palestin yang diserahkan kepada pendaftar ICJ pada 25 Julai lepas dan kenyataan berkenaan memberi fokus kepada pencabulan hak rakyat Palestin untuk penentuan nasib sendiri oleh Israel.

“Selain penyertaan dalam mengemukakan kenyataan bertulis, Malaysia bercadang untuk menyertai sesi lisan yang dijangka berlangsung pada 19 Feb 2024.

“Penyertaan Malaysia dan beberapa negara lain sepemikiran dalam proses untuk mendapat pendapat nasihat di ICJ berhubung isu Palestin melambangkan komitmen jitu dan berterusan negara dalam membantu mencari penyelesaian konkrit terhadap isu dan konflik di Palestin,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin tahu mengapa kerajaan belum menyatakan pendirian dan tindakan lebih tegas dalam isu konflik di Palestin seperti mendesak agar Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli mengenai usaha Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengelilingi dunia mendapatkan penyelesaian isu Palestin, Zamry berkata perkara itu adalah pendekatan kali pertama kerana sebelum ini negara hanya banyak mengeluarkan kenyataan bantahan.

“Dalam keadaan situasi yang serius seperti ini kita tak boleh duduk hanya sekadar mengecam atau sekadar menyampaikan bantahan kita tetapi mesti ada langkah lebih mantap, tegas dan membawa seluruh dunia Islam setidaknya dalam konteks OIC untuk bersama menyatakan pendirian kita.

“Lantaran itu, dalam mesyuarat Sidang Kemuncak Pemimpin Asean-GCC lalu, perdana menteri ambil kesempatan bersama pemimpin Asean dan GCC untuk berinteraksi dengan mereka menyampaikan pendirian Malaysia dan beliau juga ambil kesempatan ke Riyadh, Turkiye dan Kaherah kerana itu adalah negara yang sangat penting dalam menentukan perjuangan kita selanjutnya.

“Setiap pemimpin mempunyai peranan dan dalam konteks perdana menteri, beliau ambil langkah lebih jauh untuk bersama dengan kalangan pemimpin Islam dunia termasuk pemimpin bukan Islam,” katanya.

Ketika Ahmad Fadhli meminta untuk mendedahkan negara yang mengugut Malaysia kerana lantang bersuara berkenaan isu Palestin, Zamry berkata perkara itu lebih baik tidak didedahkan dan menegaskan Malaysia tidak gentar dengan ugutan yang dilemparkan. – Bernama, 26 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen