10 maut insiden tembakan di Maine, AS


Pihak penguatkuasaan undang-undang giat memburu penembak yang masih bebas. – Gambar AFP, 26 Oktober, 2023.

SEKURANG-KURANGNYA 10 orang terbunuh dan puluhan lain cedera dalam kejadian tembakan di bandar Lewiston, Maine pada malam Rabu, lapor media Amerika Syarikat (AS), dengan polis berkata lelaki bersenjata itu masih bebas.

Angka kematian dilaporkan seramai 16 orang oleh CNN dan Wall Street Journal, dalam kejadian tembakan yang berlaku di lorong boling dan juga sekurang-kurangnya satu lokasi lain, sebuah restoran dan bar tempatan, menurut media.

Polis tempatan menyiarkan gambar penembak di Facebook yang dilihat membawa seperti senjata separa automatik di lorong boling.

Penguatkuasaan undang-undang “sedang menyiasat dua peristiwa penembak aktif,” kata Jabatan Syerif Daerah Androscoggin di Facebook.

“Kami menasihatkan semua perniagaan ditutup dan atau tutup sementara kami menyiasat. Suspek masih bebas.”

Gabenor Maine Janet Mills berkata beliau sudah dimaklumkan situasi penembak aktif di Lewiston.

Presiden Joe Biden juga turut diberi taklimat, menurut White House.

CNN melaporkan sekurang-kurangnya 50 hingga 60 orang cedera dalam insiden itu, memetik pelbagai sumber penguatkuasaan undang-undang, tetapi berkata tidak jelas berapa banyak kecederaan akibat tembakan.

Ahli Kongres Maine Jared Golden menulis di X, “seperti semua penduduk Mainer, saya ngeri dengan peristiwa di Lewison malam ini. Ini adalah kampung halaman saya.”

Beliau berharap pihak berkuasa dapat mengawal keadaan dan menzahirkan simpati kepada mereka yang terjejas.

AS merekodkan lebih 500 tembakan beramai-ramai tahun ini, menurut Arkib Keganasan Senjata, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mentakrifkan tembakan beramai-ramai sebagai empat atau lebih orang cedera atau terbunuh. – AFP, 26 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen