Hampir 275,000 penduduk Bangladesh berpindah akibat taufan


Orang ramai membersihkan jalan yang terhalang akibat pokok tumbang di Cox's Bazar selepas taufan Hamoon membadai. – Gambar AFP, 25 Oktober, 2023.

HAMPIR 275,000 penduduk di Bangladesh menyelamatkan diri ke tempat perlindungan pada Rabu ketika Taufan Hamoon membadai pantai negara itu, meragut sekurang-kurangnya dua nyawa, kata pegawai.

Hamoon ialah ribut besar terbaharu yang membadai pantai Bangladesh.

Talian elektrik terputus dan hujan lebat melanda perkampungan di pantai dan pulau, tetapi tiada laporan mengenai kerosakan besar, kata Kamrul Hasan, setiausaha kementerian pengurusan bencana, kepada AFP.

“Kami memindahkan 273,352 orang ke pusat perlindungan siklon,” kata Hasan sambil menambah dua orang maut, seorang dihempap pokok tumbang dan seorang lagi apabila sebuah bangunan runtuh.

“Sekurang-kurangnya 10 orang cedera dan sedang dirawat di hospital,” katanya.

Pakar Jabatan Meteorologi Bangladesh Muhammad Abul Kalam Mallik berkata Hamoon membadai di daerah pantai Chittagong dan Cox’s Bazar pada awal pagi Rabu, dengan kelajuan angin sehingga 104km sejam.

“Ia berkemungkinan bergerak lebih jauh ke pedalaman dan perlahan secara beransur-ansur,” kata Mallik.

Pantai tenggara Bangladesh adalah kediaman kepada hampir 1 juta pelarian Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar, tetapi Hasan berkata kem itu tidak terletak di laluan utama taufan.

Daerah Cox’s Bazar terputus bekalan tenaga lewat Selasa dan pegawai daerah tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan maklumat terkini tentang sebarang kerosakan yang berlaku.

Perubahan iklim meningkatkan kejadian ribut tropika, dengan lebih banyak hujan dan angin lebih kuat menyebabkan banjir kilat dan kerosakan pantai, kata pakar.

Pada Mei, Taufan Mocha menjadi ribut paling kuat yang pernah membadai Bangladesh sejak Taufan Sidr pada November 2007. 

Sidr membunuh lebih 3,000 orang dan menyebabkan kerosakan berbilion dolar.

Beberapa tahun kebelakangan ini, ramalan yang lebih baik dan perancangan pemindahan lebih berkesan berjaya mengurangkan jumlah kematian akibat ribut secara drastik. – AFP, 25 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen