PENYANYI terkenal Korea Selatan, T.O.P kembali sedarkan diri hari ini selepas tiga hari dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi (ICU) kerana mengambil dadah secara berlebihan, lapor AFP hari ini.
Bintang berusia 29 tahun yang juga ahli kumpulan gelombang musik Korea yang mempunyai peminat di seluruh dunia, Big Bang, itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di balai polis tempat dia sedang menjalani kerahan wajib tentera dan dikejarkan ke hospital di Seoul Selasa lepas.
“Maafkan saya,” kata penyanyi itu, yang nama sebenarnya ialah Choi Seung-Hyun kepada media ketika dia keluar daripada unit rawatan rapi dengan berkerusi roda.
T.O.P dipercayai mengambil dadah jenis benzodiazepine- sejenis dadah penenang- kata seorang ahli pasukan perubatan yang merawatnya sebelum ini tetapi tidak menjelaskan sama ada penyanyi itu diberikan ubat itu secara sah.
Kejadian itu berlaku sehari selepas dia didapati menggunakan rokok ganja dan dipindahkan keluar daripada Balai Polis Gangnam, tempat dia menjadi polis bantuan sejak Febuari lepas.
Dia sedang bekerja di balai polis berlainan ketika dia pengsan.
Penyanyi itu sebelum ini didakwa menggunakan ganja dalam empat kejadian berasingan di kediaman peribadinya di Seoul Oktober tahun lepas.
Penggunaan ganja untuk perubatan dan rekreasi diharamkan di Korea Selatan dan penggunaanya boleh dihukum sehingga lima tahun penjara atau denda 50 juta won (AS$44,500). – AFP, 9 Jun, 2017.
Komen