SEORANG aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) cedera ditolak pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak dalam kekecohan yang berlaku semasa proses pengusiran di ladang sayur Kanthan di Tambun hari ini.
Dalam kejadian itu Chong Yee Shan mengalami patah gigi dan berdarah di hidung.
Setiausaha Agung PSM A Sivarajan memberitahu The Malaysian Insight bahawa empat lagi termasuk bekas ahli Parlimen Sungai Siput Dr Micheal Jeyakumar Devaraj ditahan polis berikutan kejadian itu.
“Seorang pegawai PTG Ipoh menolak Chong menyebabkan dia patah gigi dan berdarah di hidung. Ini berlaku semasa pengusiran paksa oleh Pejabat Tanah dan Galian ke atas petani di Kanthan yang terletak di Tambun.
“Petani yang mengusahakan tanah ini selama beberapa dekad kini dihalau secara paksa. Kezaliman di kerusi Parlimen perdana menteri,” kata Sivarajan.
PSM mahu Perdana Menteri Anwar Ibrahim campur tangan dalam insiden itu berikutan beliau merupakan ahli Parlimen Tambun.
Dalam satu kenyataan selepas itu Sivarajan menggesa Anwar campur tangan sebelum menuntut pembebasan segera empat ahli parti.
“PSM mengecam tindakan keras kerajaan negeri Perak terhadap petani yang memberi makan kepada rakyat.
“Kami menuntut mereka yang ditahan segera dibebaskan. Mereka yang ditahan ialah Dr Jeyakumar, Karthiges Manickam, Ho Pon Tien dan Kesavan Parvathy.
“Perdana menteri perlu campur tangan untuk menyelesaikan perkara itu dan memastikan petani produktif dijamin hak tanah untuk meneruskan pertanian dan memastikan jaminan makanan untuk negara,” kata Sivarajan.
Menurut Sivarajan, hampir 200 petani menanam pelbagai tanaman makanan di Kanthan dan sejak 2012 petani dijanjikan perjanjian pajakan oleh Lembaga Kemajuan Negeri Perak. berikutan kekejaman pengusiran di Tambun
“Mereka ditawarkan tanah gantian seluas dua ekar untuk dipajak dalam tempoh 30 tahun. Tetapi kerajaan Perak gagal melaksanakan janji ini dan kini terpaksa menghalau petani secara paksa menggunakan seksyen 425 Kanun Tanah Negara.
“Kenapa perlu menghalau petani produktif sedangkan mereka memohon tanah itu dan menunggu dengan sabar untuk mematuhi tawaran kerajaan negeri untuk tanah alternatif?”
“Negeri Perak yang gagal memindahkan mereka. Dr Jeyakumar menyerahkan banyak memorandum kepada Menteri Besar Perak, Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan dan perdana menteri sendiri tetapi pengusiran masih berlaku hari ini,” kata Sivarajan.
Sementara itu sebuah NGO hak asasi manusia turut mengecam pengusiran petani dari tanah ladang mereka.
Agora Society Malaysia (ASM) menggesa polis menjalankan siasatan yang adil dan saksama berhubung insiden ganas itu sambil menambah kerajaan negeri harus berhenti menindas petani.
“Kami juga menyeru Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai ahli Parlimen Tambun untuk tidak membenarkan akar umbi yang tidak bersalah dianiaya dan mengecewakan pengundinya.
“Memandangkan dunia sedang berhadapan dengan krisis yang disebabkan oleh peperangan dan perubahan iklim, setiap negara sedang berusaha untuk meningkatkan kapasiti bekalan makanan domestik mereka.
“Dengan membenarkan petani yang jujur mengekalkan mata pencarian mereka, seluruh negara akan mendapat manfaat. Dasar negara harus mengutamakan keselamatan makanan, bukan memusnahkan diri atas nama pembangunan,” kata ASM dalam satu kenyataan. – 24 Oktober, 2023.
Komen