Patuhi peraturan ketika sertai perhimpunan aman, kata polis 


ORANG ramai diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya ketika menyertai perhimpunan aman di ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata pihaknya mendapati terdapat individu mengibar dan membawa sepanduk sambil menaiki motosikal yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Tindakan membawa dan mengibarkan sepanduk semasa menaiki motosikal adalah perbuatan menyalahi undang-undang kerana ia boleh membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPPKKL) di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata polis akan melaksanakan operasi lalu lintas di sekitar ibu negara bagi memastikan orang ramai patuh terhadap peraturan jalan raya. 

Dalam pada itu, Allaudeen berkata polis telah bersedia dalam memastikan kelancaran Himpunan Malaysia Bersama Palestin yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil di Kuala Lumpuir malam ini.

Himpunan dikelolakan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Global Peace Malaysia (GPM) selaku penganjur utama itu dijangka bermula 6.00 petang hingga 11.00 malam dan melibatkan lebih 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan amanat khas pada perhimpunan itu yang bertujuan menunjukkan tanda solidariti negara bersama rakyat Palestin. – Bernama, 24 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen