Gencatan senjata Israel-Hamas hanya dirunding selepas tebusan bebas, kata Biden 


Presiden Amerika Syarikat Joe Biden enggan berunding mengenai gencatan senjata sebelum Hamas membebaskan semua tebusan.– Gambar EPA, 24 Oktober, 2023.

PRESIDEN Amerika Syarikat Joe Biden semalam berkata sebarang perbincangan mengenai gencatan senjata Gaza hanya boleh berlaku jika Hamas membebaskan semua tebusan yang ditawan daripada Israel dalam serangan 7 Oktober.

“Kita sepatutnya membebaskan tebusan itu dan kemudian kita boleh berbincang,” kata Biden pada satu acara di White House apabila ditanya sama ada dia akan menyokong perjanjian “tebusan untuk gencatan senjata”.

Biden kemudian memohon maaf kerana terpaksa meninggalkan acara itu untuk mempromosikan program ekonominya menjelang pilihan raya tahun depan, dengan mengatakan dia terpaksa pergi ke Bilik Situasi White House untuk “isu lain yang perlu saya tangani.”

Kenyataannya dibuat sejurus selepas Hamas berkata mereka telah membebaskan dua lagi tebusan wanita yang diculik dari Israel.

Penasihat keselamatan negara AS Jake Sullivan berkata bahawa “kami mengalu-alukan pembebasan hari ini dua warga Israel yang dijadikan tebusan oleh Hamas.”

“Kami terus melakukan segala yang mungkin untuk memastikan pembebasan semua tebusan yang tinggal di Gaza,” kata Sullivan di aplikasi X.

Ibu dan anak perempuan warga Amerika, Judith dan Natalie Raanan dibebaskan pada Jumaat.

Israel semalam menambah bilangan tebusan yang disahkan kepada 222 orang yang ditawan apabila Hamas melintasi sempadan dan menyerang komuniti kibbutz, pekan dan pangkalan tentera di selatan Israel.

Rejim itu meneruskan kempen pengeboman yang mana menurut pihak berkuasa kesihatan Hamas Gaza, kini telah meragut lebih 5,000 nyawa.

Biden juga menyentuh panggilan beliau dengan Pope Francis pada hari Ahad mengenai konflik Israel-Hamas dan situasi kemanusiaan di Gaza.

“Pope dan saya berada di pihak yang sama, dia sangat berminat dengan apa yang kami lakukan,” kata Biden.

Biden berkata dia telah “memberitahu kepadanya apa rancangan itu” mengenai sokongan AS untuk Israel.

“Pope secara keseluruhan menyokong,” tambahnya. – AFP, 24 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen