MP cadang kerajaan teroka potensi turbin angin


Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. – Gambar Facebook, 23 Oktober, 2023.

SEORANG ahli Parlimen mencadangkan kerajaan meneroka dan mengkaji potensi penggunaan turbin angin pada masa depan bagi mengembangkan portfolio tenaga boleh diperbaharui (RE) di negara ini.

Ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024, Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) berkata ini kerana terdapat beberapa lokasi di negara ini yang boleh dibangunkan projek RE selain ia sejajar hala tuju kelestarian untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar menjelang 2050.

“Ada orang kata di Malaysia ini tidak cukup angin untuk buat turbin angin, namun sebenarnya terdapat beberapa tempat yang sesuai untuk melaksanakan projek tenaga angin termasuk di pantai timur dan beberapa lokasi terpilih di pantai barat semenanjung Malaysia.

“Malah pembangunan turbin angin pertama di Malaysia sudah dilaksanakan di Bukit Cerakah, Selangor pada 2014 yang dapat menghasilkan bekalan elektrik yang mencukupi keperluan tenaga kepada lebih 1,000 buah rumah,” katanya.

Selain itu, Mohd Nazri berkata baru-baru ini, sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut berjaya membangunkan sebuah turbin angin yang mampu menjana kuasa elektrik secara efisien pada tahap kelajuan angin yang rendah melalui revolusi teknologi bilah turbin angin.

Justeru beliau meminta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad meneliti kepakaran tempatan itu yang diyakini mampu dibangunkan dengan kos efektif.

Sementara itu, Azli Yusof (PH-Shah Alam)meminta kerajaan mempertimbangkan penggunaan tenaga nuklear bagi penjanaan elektrik pada masa depan memandangkan iklim negara yang mengehadkan kesediaan sumber solar sepanjang tahun.

“Baru-baru ini Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) ke Abu Dhabi dan Masdar City yang merupakan ibu pejabat agensi tenaga boleh diperbaharui antarabangsa yang menghubungkan organisasi kerajaan di Timur Tengah.

“Masdar City mempunyai solar farm yang sangat luas sesuai dengan ketersediaan mereka yang mempunyai kawasan tanah lapang dan terdedah dengan sinaran matahari sepanjang tahun.

“Namun kini kerajaan UAE sedang membina empat loji nuklear sebagai sumber tenaga alternatif mereka jadi adakah kerajaan juga akan mempertimbangkan sumber ini?,” katanya.

Sementara itu, Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) mencadangkan kerajaan supaya menubuhkan sebuah Majlis Perundingan Kecerdasan Buatan (AI) yang dianggotai oleh ahli Parlimen, pemain industri, Universiti Teknologi Malaysia dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Beliau berkata penubuhan majlis itu sebagai persediaan negara untuk berhadapan segala kemungkinan perkembangan teknologi serta melonjakkan industri AI ke tahap yang lebih hebat.

Persidangan bersambung esok. – Bernama, 23 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen