Saya beri RM2 juta kepada Najib, Guan Eng, kata saksi


Lim Guan Eng didakwa menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2023.

PENGARAH syarikat projek terowong dasar laut Pulau Pinang memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa beliau menyerahkan wang berjumlah RM2 juta masing-masing kepada Najib Razak dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 64, berkata wang RM2 juta diberi secara tunai kepada Najib manakala cek bernilai RM2 juta dibayar kepada Lim masing-masing pada 2017 di sebuah hotel di Petaling Jaya melalui ahli perniagaan G. Gnanaraja.

Saksi pendakwaan ke-23 itu berkata demikian ketika disoal peguam Gobind Singh Deo pada perbicaraan kes rasuah Lim yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Zarul Ahmad berkata wang itu diberi kepada Najib untuk tujuan menghentikan siasatan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap syarikatnya.

Gobind: Wang tunai RM2 juta itu diberikan kepada Najib kerana beliau adalah Perdana Menteri pada masa itu dan pada fikiran kamu, beliau boleh mempengaruhi siasatan terhadap syarikat kamu?

Zarul Ahmad: Ya.

Gobind: Dalam pernyataan saksi, kamu mengatakan bahawa Gnanaraja rapat dengan Najib?

Zarul Ahmad: Betul

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di Kuala Lumpur antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok. – Bernama, 23 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen