PERDANA Menteri Anwar Ibrahim mengundang seluruh rakyat Malaysia bersama-sama ke himpunan solidariti terhadap Palestin, malam esok.
Perhimpunan Malaysia Bersama Palestin itu akan diadakan di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil jam 7 malam.
“Ayuh seluruh rakyat Malaysia turun ke Axiata Arena, Bukit Jalil esok malam sebagai tanda solidariti kita bersama rakyat Palestin!,” kongsinya melalui platform X yang dimuat naik bersama poster program tersebut.
Anwar lantang di peringkat global menunjukkan sokongan kerajaan terhadap rakyat Palestin dan terus menggesa Israel menghentikan serangan ke atas Gaza.
Sementara itu, Ketua Sekretariat Media Perpaduan Lokman Noor Adam berkongsi di akaun media sosialnya, himpunan itu akan menyaksikan ucapan Anwar dan pemimpin politik serta NGO lain.
Beliau juga menyarankan peserta memakai pakaian berwarna putih ketika himpunan tersebut.
Perhimpunan itu sebagai tanda solidariti Malaysia terhadap rakyat Palestin yang di tengah-tengah serangan tanpa henti dari zionis Israel.
Pada Ahad, NGO Viva Palestina Malaysia (VPM) dan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) menganjurkan perhimpunan ‘Freedom for Palestine’ di Dataran Merdeka.
Penganjuran yang disertai beberapa ratus peserta itu dikecam di media sosial susulan pelbagai larangan yang dikenakan termasuk apa yang boleh laungkan serta bendera dan sepanduk apa yang boleh dibawa.
Jumaat lalu, satu lagi himpunan bantahan diadakan berhampir Masjid Tabung Haji di Jalan Tun Razak untuk mengutuk serangan zionis ke atas Hospital Al-Ahli Al-Arabi di Gaza.
Pada Jumaat sebelumnya, satu lagi perhimpunan aman menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin diadakan di Masjid Negara. – 23 Oktober, 2023. – 23 Oktober, 2023.
Komen