SINGAPURA menyenarai pendek enam konsortium yang cadangan mereka akan diteruskan menerusi Permintaan Cadangan (RFP) untuk menyediakan penyelesaian ammonia rendah atau sifar karbon dalam penjanaan kuasa dan “bunkering” di Pulau Jurong.
Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga (EMA) dan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) dalam satu kenyataan bersama hari ini memaklumkan RFP akan dilancarkan sebelum penghujung 2023.
RFP merupakan peringkat seterusnya dalam pemilihan pemaju berikutan Expression of Interest (EOI) yang dilancarkan pada Disember 2022 dan ditutup pada akhir April 2023.
Di bawah EOI, EMA dan MPA menerima sejumlah 26 cadangan daripada syarikat tempatan dan antarabangsa.
Sebanyak enam cadangan disenarai pendek bagi RFP tertutup selepas menjalani proses penilaian ketat membabitkan aspek teknikal, pengoptimum tanah, keselamatan dan komersial.
RFP itu bertujuan memilih pemaju utama yang akan bekerjasama dengan kerajaan bagi membangunkan projek berkenaan.
Projek itu antara lain merangkumi “ammonia bunkering” pada kapasiti sekurang-kurangnya 0.1 juta tan setahun (MTPA), “shore-to-ship bunkering” diikuti “ship-to-ship bunkering”.
Projek itu meletakkan Singapura sebagai antara negara terawal di dunia yang menguji dan menggunakan loji janakuasa pembakaran ammonia secara langsung serta menyokong penilaian holistik “bunkering ammonia” untuk penghantaran antarabangsa dan pelabuhan domestik.
Menurut kenyataan itu jika terbukti berdaya maju projek berkenaan akan menyumbang kepada potensi ammonia sebagai bahan api rendah karbon.
Teras utama Strategi Hidrogen Nasional Singapura yang diumumkan pada Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura pada Oktober 2022 adalah untuk menguji penggunaan teknologi hidrogen yang berdaya maju untuk dikomersialkan. – Bernama, 23 Oktober, 2023.
Komen