BNM sasar separuh pembiayaan baharu bercirikan hijau menjelang 2026


BNM menyasarkan sekurang-kurangnya separuh daripada pembiayaan baharu oleh bank-bank akan diselaras dengan sokongan iklim atau aktiviti peralihan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2023.

BANK Negara Malaysia (BNM) menyasarkan sekurang-kurangnya separuh daripada pembiayaan baharu oleh bank-bank akan diselaras dengan sokongan iklim atau aktiviti peralihan sebagaimana ditetapkan dalam Pelan Induk Sektor Kewangan Malaysia (PISK) 2022-2026.

Gabenor Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkata pada masa sama bank pusat itu akan terus menyediakan persekitaran dasar yang memudahkan industri memajukan inovasi kewangan dan meninjau struktur kewangan baharu yang diperlukan dalam memenuhi keperluan pembiayaan bagi mitigasi serta aspek penyesuaian terhadap risiko iklim.

“BNM memulakan usaha melakukan semakan menyeluruh terhadap peraturan sedia ada bagi memastikan risiko iklim ini diambil kira dengan sewajarnya dan diintegrasikan secara baik ke dalam rangka kerja pengawalseliaan kami,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada acara dwitahunan Persidangan Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) bertemakan ‘Journey to Zero’ di Kuala Lumpur hari ini.

Menjelaskan selanjutnya Abdul Rasheed berkata langkah tersebut bagi memastikan industri terbabit kekal berdaya tahan terhadap faktor iklim selain dapat menyumbang secara berkesan bagi menyokong peralihan ekonomi.

Beliau berkata BNM juga mengambil maklum mengenai cabaran yang mungkin dihadapi oleh institusi kewangan dalam mengimbangi impak tersebut.

“Risiko konsentrasi misalnya boleh meningkatkan pembiayaan hijau serta peralihan dan institusi kewangan perlu memahami dengan sewajarnya dan menguruskan risiko tersebut dengan betul,” katanya.

Pada masa sama beliau juga menegaskan sebarang pelarasan terhadap standard atau piawaian perlu mengambil kira perlindungan yang wajar bagi memastikan risiko yang ditangani itu dapat diurus sebaik mungkin.

“Sejajar usaha institusi kewangan melaksanakan lebih banyak langkah konkrit dalam tindakan berkaitan iklim, aspek pengurusan perdagangan dalam merangka pelan peralihan berwibawa dan memperuntukkan modal selari dengan trajektori sifar bersih akan menjadi penting,” katanya.

Abdul Rasheed berkata BNM juga sedang berusaha untuk merangka panduan mengenai pelan peralihan untuk menggalakkan penjajaran antara strategi perniagaan dan risiko institusi kewangan, komitmen awam mereka terhadap matlamat iklim dan rancangan negara dan pada masa sama memastikan perlindungan daripada ‘greenwashing.’

‘Greenwashing’ merujuk kepada penyebaran maklumat tidak berasas dan mengelirukan mengenai manfaat alam sekitar daripada produk, perkhidmatan, teknologi atau amalan perniagaan sesebuah syarikat bagi tujuan pemasaran. – Bernama, 23 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen