BOTSWANA melancarkan perkhidmatan bas ekspres khas dalam usaha mengangkut komuniti dan kanak-kanak sekolah di bahagian barat laut negara itu yang terdedah kepada ancaman hidupan liar.
Presiden Botswana Mokgweetsi Masisi berkata kerajaan komited untuk melindungi keselamatan rakyatnya, terutamanya kanak-kanak, lapor Xinhua.
“Pengenalan bas itu adalah perkembangan yang dialu-alukan dalam memastikan keselamatan murid dan meningkatkan akses kepada pendidikan yang penting untuk pembangunan negara,” kata Masisi semasa berucap pada majlis penyerahan bas itu di kampung Seronga.
Bas ekspres khas itu adalah yang ketiga di kawasan itu susulan perkhidmatan dua bas mini yang beroperasi sejak dua tahun lalu.
Presiden mengucapkan tahniah dan berterima kasih kepada pihak swasta yang menaja bas berkenaan.
Kampung Seronga yang terletak di kawasan barat laut Botswana, mempunyai populasi padat hidupan liar yang menjadi ancaman kepada manusia.
Botswana ketika ini mempunyai kira-kira 131,909 ekor gajah, menyumbang 58% daripada kawasan Kavango Zambezi Transfrontier Conservation Area (KAZA TFCA).
KAZA TFCA merupakan antara kawasan pemuliharaan alam dan landskap terkemuka di dunia merangkumi sempadan antarabangsa lima negara Afrika Selatan termasuk, Botswana, Namibia, Zambia , Angola dan Zimbabwe. – Bernama, 23 Oktober, 2023.
Komen