Ahli perniagaan ditahan bantu siasatan kes pengasas syarikat penerbangan


Polis merampas 12 kenderaan mewah, dokumen berkaitan dua syarikat kepunyaan pengasas bersama bergelar “Datuk” itu dan enam utas jam tangan mewah dalam siasatan syarikat penerbangan MyAirlines. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2023.

POLIS menahan seorang ahli perniagaan awal pagi tadi bagi membantu siasatan kes pengasas bersama syarikat penerbangan yang ditahan Selasa lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata lelaki berusia 40-an itu yang merupakan pemegang saham satu daripada syarikat yang diasaskan oleh ahli perniagaan berkenaan ditahan di rumahnya di Bangsar, Kuala Lumpur pada 1 pagi tadi.

Beliau berkata permohonan reman akan dibuat pada pagi ini di Lokap Berpusat Jinjang.

Mengenai perkembangan siasatan kes berkenaan, Ramli berkata polis merampas 12 kenderaan mewah, dokumen berkaitan dua syarikat kepunyaan pengasas bersama bergelar “Datuk” itu dan enam utas jam tangan mewah.

“Polis juga merampas lapan beg tangan mewah, dua komputer riba, satu komputer dan 10 item barang kemas.

“Pengasas bersama syarikat penerbangan itu dibebaskan dengan jaminan polis hari ini selepas tempoh reman beliau tamat,” katanya.

Pada Selasa lepas, Bernama melaporkan polis menahan ahli perniagaan berusia 57 tahun itu bersama isteri, 55, dan anaknya, 26, di rumah mereka di Shah Alam, Selangor bagi siasatan kes mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Reman terhadap isteri dan anak lelaki ahli perniagaan itu tamat pada Sabtu. – Bernama, 23 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen