Serangan ke atas Gaza berterusan walau bantuan kemanusiaan tiba 


Serangan udara ke atas Gaza oleh rejim Israel berterusan yang mana angka korban rakyat Palestin setakat ini lebih 4,600 orang.– Gambar EPA, 23 Oktober, 2023.

PULUHAN rakyat Palestin terbunuh di tengah Gaza pada hari Ahad selepas Israel meningkatkan serangan ke atas kawasan yang dilanda perang dan satu lagi konvoi 17 trak bantuan tiba di wilayah kendalian Hamas menghadapi kekurangan bekalan keperluan asas.

Dengan keganasan yang tidak terkawal, Iran berkata rantau itu boleh menjadi lebih teruk. Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengeluarkan amaran keras kepada Hizbullah Lubnan, mengatakan bahawa ia akan menjadi satu kesilapan sekiranya kumpulan itu campur tangan. 

Washington turut memberi amaran kepada mana-mana pihak yang ingin mencetuskan konflik dan tidak akan teragak-agak untuk bertindak sekiranya berlaku sebarang “peningkatan”.

Israel melancarkan kempen ketenteraan ke atas Gaza yang setakat ini mengorbankan lebih 4,600 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam, menurut kementerian kesihatan Gaza. 

Menurut seorang pegawai, bandar tengah Deir al-Balah paling teruk diserang sepanjang malam Sabtu hingga Ahad.

Kementerian itu berkata sekurang-kurangnya 80 orang terbunuh dalam serangan di tengah Gaza, yang memusnahkan lebih 30 rumah.

Di bilik mayat hospital, seorang wartawan AFP melihat banyak mayat kanak-kanak di atas lantai berlumuran darah, serta tangisan ahli keluarga ketika mereka mengenal pasti mangsa.

Antaranya seorang lelaki yang memegang mayat anak kecilnya dan seorang budak lelaki yang menarik selimut menutup mayat adik perempuannya.

“Sepupu saya sedang tidur di rumahnya dengan anak perempuannya dalam pelukan. Dia seorang lelaki yang tiada rekod, tiada kena mengena dengan penentangan,” kata Wael Wafi sambil merenung tubuh sepupunya, lengannya masih merangkul anak perempuannya, Misk yang berumur tiga tahun.

Pada Ahad, agensi PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA) berkata 29 kakitangannya telah terbunuh sejak permulaan perang dalam satu kenyataan di X, mengatakan separuh daripada mereka adalah guru. Pada Sabtu angka kematian meningkat lagi sebanyak 17 orang.

Skala pengeboman menyebabkan sistem asas tidak dapat berfungsi. PBB berkata berpuluh-puluh mayat yang tidak dikenali telah dikebumikan dalam kubur besar di Gaza City kerana ketiadaan bilik mayat. – AFP, 23 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen