PAC digesa teliti penjualan tanah kontroversi di Pulau Pinang


Noel Achariam

Chow sebelum ini mengarahkan PDC menyediakan satu kertas kerja untuk mengkaji semula proses penjualan tanah milik perbadanan tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2023.

JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) boleh meneliti isu berkait penjualan tanah kontroversi milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di Batu Kawan Industrial Park 2 (BKIP2) kepada Umech Land Sdn Bhd.

Pengerusi Warisan Pulau Pinang Jeff Ooi berkata siasatan bebas perlu dijalankan oleh PAC berkait isu tersebut bagi menjernihkan urusan berkenaan..

“Ketua menteri Pulau Pinang (Chow Kon Yeow) boleh dipanggil untuk beri keterangan berbanding temu bual secara dalaman berkait penglibatalan pengurusan PDC dalam penjualan tanah itu.

“Jika ada sebarang salah laku, maka perkara itu boleh dibawa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ooi merujuk kepada kenyataan Chow yang mengarahkan PDC menyediakan satu kertas kerja untuk mengkaji semula proses penjualan tanah milik perbadanan tersebut.

Menurut Chow, tindakan itu untuk menambah baik PDC terutama dalam cara mengendalikan penjualan tanah.

“Kami alu-alukan mana-mana pihak yang mahu memberi cadangan untuk menambah baik kerajaan negeri atau agensi di bawahnya termasuk cara menambah baik jualan dan pembelian oleh PDC.

“Pengurusan PDC sudah diberi arahan untuk menyediakan kertas kerja bagi mengkaji semula proses penjualan tanah untuk projek yang akan dilaksana di tanah milik PDC sebab kami mahu menambah baik prosesnya,” katanya.

Chow yang juga Pengerusi PDC berkata kertas kerja itu mesti dilengkapkan secepat mungkin untuk dibentangkan kepada lembaga PDC dalam beberapa minggu lagi.

Minggu lalu, PDC menamatkan perjanjian usaha sama dengan pihak UMECH Land Sdn Bhd melalui notis tiga bulan selepas mendapati berlaku perubahan majoriti struktur ekuiti syarikat berkenaan.

Sementara itu, Ooi menambah kerajaan negeri perlu segera memainkan peranan dengan menyerahkan kepada PAC untuk menguruskan isu tersebut tanpa ditangguh untuk memastikan semak dan imbang.

“Kerajaan negeri perlu jelaskan apa yang berlaku semasa urusan jual beli tanah itu.

“Kenapa hanya apabila orang awam dan Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang (PCCC) bangkitkan isu itu baru nak bertindak?

“Kenapa awal-awal buat kontrak itu? Kenapa Chow dan PDC buat keputusan batalkan kontrak itu lepas dipertikai orang ramai?,” katanya.

Beberapa pihak termasuk PCCC mempertikai penjualan tanah seluas 223.6 hektar di Byram, BKIP2, Batu Kawan.

Malah Ooi berkata bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang P Ramasamy juga membangkitkan isu tersebut.

“Chow sebagai penjaga PDC perlu bertanggungjawab sepenuhnya dengan mematuhi tanda aras tadbir urus korporat dan awam,” katanya. – 23 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen