Polis tahan suami isteri, rampas 8.5kg syabu di Changlun


POLIS menahan sepasang suami isteri serta merampas dadah jenis syabu seberat lebih 8.5 kilogram yang dianggar bernilai RM297,500 di Changlun, dekat Jitra pada Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah Mohd Taufik Maidin berkata, bertindak atas maklumat awam, pihaknya menyerbu sebuah rumah dan menahan seorang lelaki berusia 28 tahun di hadapan rumah itu kira-kira jam 11.15 malam.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut di dalam beg galas lelaki itu menemukan lapan bungkusan plastik lut sinar yang berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Susulan tangkapan itu, polis menahan wanita berusia 20 tahun iaitu isteri kepada lelaki berkenaan di dalam sebuah kereta di hadapan sebuah kedai sekitar kawasan perumahan itu.

“Pasangan berkenaan bekerja sebagai pembantu kedai makan dan polis turut menyita sebuah kereta serta sejumlah barang kemas bernilai RM152,214 daripada mereka,” katanya kepada pemberita di Jitra hari ini.

Beliau berkata ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif methamphetamine dan mereka direman hingga Rabu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Mohd Taufik berkata pihaknya turut berjaya membongkar satu aktiviti memproses dadah jenis heroin di sebuah rumah dekat Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani selepas menahan dua lelaki pada Khamis.

Beliau berkata kedua-duanya yang berusia 36 dan 53 tahun ditahan di tepi jalan Kampung Gelong Rambai, Padang Limau, Tunjang kira-kira jam 7 malam dan pemeriksaan menemukan dadah jenis heroin seberat 4.607kg di bahagian tempat duduk penumpang belakang kenderaan dinaiki mereka.

Menurut Mohd Taufik, hasil soal siasat terhadap mereka, polis menyerbu sebuah rumah sewa di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani yang disyaki dijadikan makmal memproses dadah sejak sebulan lalu.

“Pemeriksaan menjumpai satu paket lut sinar mengandungi 22 biji pil yaba, satu paket plastik lut sinar mengandungi dadah jenis kafein seberat 307 gram, satu plastik warna merah mengandungi dadah kafein seberat 659 gram, satu bekas plastik mengandungi heroin seberat 6.711kg dan lima ketulan mampat ganja seberat 5.088kg, semuanya dianggar bernilai RM71,500.

“Turut dirampas pelbagai peralatan memproses dadah seperti dapur elektrik, penimbang digital, cecair bahan kimia dan mesin pembungkusan elektronik,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu yang memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan dadah direman hingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama, 22 Oktober, 2023.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen