Jangan amal politik dendam, pesan Hadi kepada pemimpin PAS


Muktamar Tahunan PAS ke-69 melabuhkan tirainya, hari ini. – Gambar Facebook, 22 Oktober, 2023.

PEMIMPIN PAS diingatkan agar berlaku adil dan tidak terlibat dengan politik dendam.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata pemimpin parti tidak boleh balas dendam terhadap mereka yang sebelum ini memusuhi mereka.

“Kita mesti buktikan di negeri yang kita perintah, kita mahu menjadi kerajaan yang adil kepada semua rakyat, sama ada kepada mereka yang menyokong atau membangkang.

“Bila kita jadi kerajaan, kita jangan buat zalim jangan balas dendam. Ini diajar Islam dan diajar Nabi. Kita sabar, anggaplah itu pendidikan dalam perjuangan,” katanya pada sesi penggulungan Muktamar Tahunan PAS ke-69 di Shah Alam, hari ini.

Menurut Abdul Hadi, empat negeri yang ditadbir PAS - Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu perlu menjadi contoh.

Beliau turut mengingatkan perwakilan untuk bersedia dengan pilihan raya umum akan datang dan pada masa yang sama tidak menebuk kapal sendiri.

“Parti mesti bantu kerajaan. Jangan jadi ‘pembangkang’ apabila parti sudah menjadi kerajaan.

“Jangan tebuk bahtera (sendiri). Kalau ada kelemahan jangan menumpang untuk menjatuhkan kerajaan.

“Kita kena bertahan, parti kita yang memerintah, sebarang kelemahan kita tolonf, jangan dedahkan kelemahan itu,” katanya. – 22 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen