Putrajaya ambil langkah tangani lebihan pekerja asing, kata menteri


Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata majikan dan agensi pekerjaan swasta yang melanggar undang-undang berhubung pengambilan pekerja asing akan disenaraihitam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2023.

PENGURUSAN pekerja asing di negara ini tertakluk kepada memberi keutamaan kepada pekerja tempatan serta permintaan daripada majikan, kata Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.

Katanya, ia juga tertakluk kepada keperluan dan sektor berdasarkan kriteria yang ditentukan Putrajaya.

“Baru-baru ini, Putrajaya melonggarkan syarat pengambilan pekerja asing, dengan niat untuk membantu dan memudahkan perniagaan dengan mengambil kira persekitaran ekonomi yang mencabar dan kesan pasca Covid-19.

“Perniagaan yang memerlukan pekerja kritikal untuk menyokong operasi dan pemulihan mereka diberikan keutamaan.

“Walaupun syarat dilonggarkan, syarikat yang mempunyai kelulusan akan mempunyai enam bulan untuk memenuhi semua keperluan kawal selia berhubung pengambilan pekerja asing,” kata Sivakumar dalam kenyataan hari ini.

Sivakumar menjawab laporan pada 19 Oktober Malaysia mempunyai lebihan pekerja asing akibat kelemahan sistemik.

Sivakumar bagaimanapun mengingatkan langkah kelonggaran itu adalah sementara dan dihentikan mulai 18 Mac lalu.

“Kerajaan menyemak semula program kelonggaran itu dan sedar ada majikan yang menyalahgunakan kelonggaran yang diberikan menyebabkan kuota yang diluluskan melebihi keperluan sebenar majikan.

“Ini tidak dinafikan menyebabkan ramai pekerja asing berdepan situasi tidak menyenangkan iaitu tidak dibayar gaji, tidak diberi pekerjaan dan tidak disediakan tempat tinggal yang kondusif mengikut undang-undang negara,” katanya.

Sivakumar berkata isu itu dipandang serius oleh kerajaan dan langkah sedang diambil untuk menanganinya.

“Kerajaan memutuskan tiada lagi kelulusan kuota baharu dan hanya menguruskan kemasukan pekerja berdasarkan kuota yang diluluskan bagi memastikan jumlah pekerja asing di Malaysia tidak melebihi 2.4 juta menjelang 2025.

“Pihak berkuasa akan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang gagal mematuhi undang-undang buruh dan imigresen bersama-sama dengan sebarang aktiviti penipuan lain yang dilakukan oleh majikan semasa program kelonggaran.

“Majikan dan agensi pekerjaan swasta yang melanggar undang-undang dan menyalahgunakan dasar dan arahan kerajaan berhubung pengambilan pekerja asing juga akan disenaraihitamkan,” katanya. – 22 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen