KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan membangunkan satu pelan tindakan kesihatan mental untuk kanak-kanak dan remaja, bagi mengatasi peningkatan kes kesihatan mental golongan itu.
Menterinya Dr Zaliha Mustafa berkata, peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja adalah satu perkembangan membimbangkan kerana mereka merupakan pemimpin masa depan negara.
“Pelan tindakan kesihatan mental kanak-kanak dan remaja akan dibangunkan, supaya masalah ini tidak menjadi semakin teruk hingga ke peringkat membunuh diri,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2023 peringkat kebangsaan di Petaling Jaya, Selangor hari ini.
Pada 14 Oktober, Dr Zaliha memaklumkan berdasarkan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), seramai 424,000 orang kanak-kanak di negara ini mengalami isu kesihatan mental, sepanjang tahun lalu dan trend ini dilihat semakin meningkat pasca-Covid-19.
Sementara itu, beliau berkata literasi rakyat Malaysia mengenai kesedaran untuk menjaga kesihatan mental masih rendah dan KKM akan melaksanakan pelbagai pendekatan, supaya rakyat lebih tahu mengenai kepentingan kesihatan mental terutama ketika pandemik.
Dr Zaliha berkata, orang ramai kini boleh mendapatkan akses kepada pelbagai perkhidmatan berkaitan kesihatan mental melalui platform digital, antaranya modul MyMinda di aplikasi MySejahtera.
“Melalui MyMinda, pengguna boleh memeriksa status kesihatan mental masing-masing dengan menjawab soalan saringan minda sihat untuk kenal pasti diri, mendapatkan bahan psikopendidikan serta akses terhadap perkhidmatan bantuan sokongan psikososial,” katanya.
Pada majlis itu, beliau melancarkan modul latihan pencegahan bunuh diri untuk responder pertama yang bertujuan meningkatkan ilmu pengetahuan dan melatih petugas barisan hadapan dalam pengendalian kes tingkah laku bunuh diri.
Turut dilancarkan, modul latihan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial (MHPSS) yang dibangunkan untuk melatih anggota kesihatan lain seperti pakar perubatan keluarga, pegawai perubatan dan paramedik di klinik kesihatan seluruh negara.
Dr Zaliha berkata, modul berkenaan dibangunkan susulan kekangan anggota profesional kesihatan mental, terutamanya ketika bencana pandemik Covid-19 dan kini sekurang-kurangnya satu pasukan MHPSS diwujudkan di setiap daerah dan hospital. – Bernama, 22 Oktober, 2023.
Komen