DAP tidak pernah antiraja, kata Loke


Anthony Loke berkata, DAP sering dilabel sebagai antiraja kerana dasar parti itu tidak menerima darjah kebesaran dianugerahkan oleh institusi diraja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2023.

DAP menjelaskan parti itu tidak pernah bersikap antiraja sebaliknya menjunjung tinggi sistem Raja Perlembagaan dan menghormati institusi diraja seperti termaktub dalam Perlembagaan, kata Setiausaha Agungnya Anthony Loke.

Loke berkata, DAP sering kali dilabel sebagai antiraja kerana dasar parti itu yang tidak menerima darjah kebesaran dianugerahkan oleh institusi diraja, bagaimanapun DAP tidak menolak penganugerahan itu sekiranya terdapat pemimpin bersara dalam politik dianugerahkan darjah kebesaran.

“Kita (DAP) selalu dimomokkan dengan perkara itu (dilabel antiraja), dasar kita tidak menerima darjah kebesaran, ia tidak tepat sama sekali, kita tidak pernah bersikap melawan raja, tetapi dasar kita tidak menerima darjah kebesaran itu ditakrifkan sebagai melawan raja, saya jelaskan ia tidak betul,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen DAP kali ke-22 peringkat Negeri Sembilan di Seremban hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Aminuddin Harun serta wakil parti kerajaan perpaduan.

Sementara itu, Loke menyeru semua parti politik di negara ini untuk tidak mengamalkan politik ekstrem dengan memainkan sentimen agama dan kaum yang boleh membawa perpecahan dalam masyarakat majmuk.

Beliau berkata, DAP tidak memusuhi mana-mana agama dan kaum di negara ini, namun menjadi kebimbangan apabila sentimen agama dan kaum digunakan sesetengah pihak ia akan menjejaskan keharmonian dalam masyarakat.

“Ini sangat bahaya, seperti di Parlimen, kita dilabelkan sebagai kafir, itu sesuatu yang tidak patut, saya yakin rakan pemimpin Islam tidak bersetuju (perkara itu). Itu sesuatu yang sangat bahaya, Malaysia mesti kekal aman harmoni,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata kerjasama parti itu dalam kerajaan perpaduan adalah berlandaskan prinsip Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dan ia satu hubungan yang baik bagi memastikan pentadbiran di negara ini berjalan lancar dengan harmoni.

Beliau berkata, kenyataan MCA bahawa bukan masa yang sesuai ketika ini untuk MCA dan DAP menjalinkan kerjasama menyeluruh adalah pandangan pemimpin parti itu, namun pihaknya fokus dalam memastikan persefahaman yang terjalin dalam kerajaan perpaduan diperkukuh demi kesejahteraan rakyat.

“Kita tidak melihat terhadap individu dalam parti, PH dan BN mempunyai hubungan baik. Kenyataan itu adalah pandangan masing-masing, MCA berasakan susah untuk bekerjasama itu pandangan mereka, ia tak menjejaskan hala tuju perjalanan kerajaan hari ini,” katanya.

Semalam, Timbalan Presiden MCA Mah Hang Soon yang ditemui pemberita pada Perhimpunan Agung Tahunan Pemuda MCA ke-59 berkata bukan masa yang sesuai ketika ini untuk kerjasama menyeluruh antara MCA dan DAP, namun kedua-dua pihak boleh mengekalkan kerjasama dalam isu tertentu. – Bernama, 22 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen