KPDN tambah baik Jualan Rahmah tahun depan, kata pemangku menteri


Menu Rahmah antara program yang mendapat sambutan hangat kerana ia boleh membantu dalam menangani kos sara hidup yang meningkat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2023.

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) komited untuk menambah baik inisiatif program Jualan Rahmah sebagai usaha memastikan manfaatnya terus dinikmati golongan sasar di seluruh negara tahun depan.

Pemangku menterinya Armizan Mohd Ali berkata, ini termasuk merintis program Pasar Rahmah sebagai antara kaedah memperluas konsep penganjuran Jualan Rahmah selaras dengan manifestasi kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata maklum balas masyarakat daripada semua peringkat terhadap program Jualan Rahmah adalah baik yang dapat dilihat menerusi 2,723 siri penganjuran program itu di seluruh negara, setakat semalam.

“Sebagaimana diketahui, program Jualan Rahmah dimulakan dalam premis (dan) luar premis, kemudian kita rintis secara bergerak, dengan (barang jualan) boleh diperoleh pada kadar diskaun 10 hingga 30%.

“Tahun depan, kita (KPDN) cuba merintis satu kaedah baharu dinamakan program Jualan Rahmah di Pasar Rahmah sebagai pendekatan menambah baik dan memastikan kebolehcapaian dan keterlihatan program itu dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Armizan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) berkata kepada pemberita selepas merasmikan program Jualan Rahmah bergerak di Kampung Warisan, Darau, dekat Kota Kinabalu hari ini.

Beliau juga berharap komitmen menambah baik inisiatif program itu dapat dilakukan menerusi peruntukan tambahan RM150 juta bagi kementerian berkenaan yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2024, baru-baru ini.

“KPDN mendapat peruntukan sejumlah RM150 juta untuk meneruskan program Jualan Rahmah tahun hadapan.

“Kami amat berterima kasih kepada perdana menteri atas keprihatinan beliau yang melihat program ini sebagai antara strategi intervensi dan mitigasi dalam kita menghadapi peningkatan kos sara hidup,” katanya. – Bernama, 22 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen