Membela rakyat Palestin: Mampukah OIC bangkit semula?


SERANGAN Taufan al-Aqsa pejuang Palestin ke atas kubu penjajah Israel minggu lalu tidak dijangka dan tidak pernah berlaku sebelum ini. Namun, tindak balas Israel memang dijangka.

Pada masa artikel ini ditulis, jumlah nyawa yang terkorban adalah beribu-ribu, kebanyakannya rakyat Palestin. Ini adalah tambahan kepada kemusnahan harta benda dan infrastruktur daripada serangan oleh mesin perang Israel.

Mutakhir, serangan ganas Israel ke atas sebuah hospital di Gaza dilaporkan menyebabkan lebih 500 orang terkorban.

Kenapakah rakyat Palestin mengambil jalan ini? Ia berlaku kerana kekejaman Israel selaku rejim penjajah sudah melampaui batas. Dasar kerajaan sayap kanan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menyebabkan rakyat Palestin, terutamanya di Gaza tidak mempunyai banyak pilihan.

Setiap hari rampasan tanah rakyat Palestin oleh pendatang Yahudi dilaporkan. Semakin hari semakin ganas pula kekejaman Yahudi terhadap penduduk asal Palestin.

Pengepungan ke atas 2 juta penduduk menjadikannya penjara terbuka tebesar di dunia. Di samping itu, kerajaan Zionis tidak mengambil tindakan, bahkan seolah-olah menggalakkan pelampau Yahudi menceroboh Masjid al-Aqsa.

Sementara itu, negara-negara Islam mengabaikan tanggungjawab mereka untuk melindungi Masjid al-Aqsa dan gagal memberikan sokongan kepada saudara seagama mereka.

Isu kekejaman Israel semakin dilupakan, penjajahan tanah Palestin diremehkan, rakyat Palestin dibiarkan bersendirian menangani isu wilayah yang dicuri dan Masjid al-Aqsa dicemari.

Bagi tempoh 54 tahun lalu, keadaannya berbeza. Negara-negara Islam ketika itu menganggap serangan dan ancaman terhadap kesucian Masjid al-Aqsa sebagai satu perkara yang serius.

Pada tahun 1969, kebakaran di Masjid al-Aqsa mencetuskan kekecohan yang membawa kepada konfrontasi besar antara Israel dan negara-negara jiran.

Aduan tegas dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) oleh 25 negara Islam sebagai tindak balas terhadap cubaan membakar al-Aqsa. Sebulan kemudian, Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islam (OIC) ditubuhkan pada 26 September 1969.

Menurut laman web OIC, “Pertubuhan ini adalah suara kolektif dunia Islam. Ia berusaha untuk menjaga dan melindungi kepentingan dunia Islam…”

Ironinya, sebelum operasi Taufan al-Aqsa, apabila Masjid al-Aqsa dicemari oleh Zionis, apabila seluruh penduduk Gaza dianiaya dan dihukum setiap hari, dinafikan hak asasi mereka, respons OIC hanya terhad kepada pengeluaran kenyataan akhbar yang tidak bermaya.

Tidak ada usaha bersepadu untuk bekerja keras dalam bidang diplomatik, apatah lagi mobilisasi tentera.

Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan beberapa negara daripada 57 ahli yang membentuk OIC tidak lagi mahu mengambil tanggungjawab mereka untuk menyokong dan mempertahankan Palestin serta Masjid al-Aqsa.

Mereka meninggalkan penentangan terhadap penjajahan Israel dan bersetuju untuk menormalkan hubungan dengan negara pengganas, yang kesannya seolah-olah mengiktiraf dan memperakukan kuasa penjajahan aparteid.

Selepas Mesir mengambil jalan sendiri pada tahun 1978 dengan menandatangani perjanjian Camp David, Deklarasi Casablanca menjadikan Maghribi sebagai sekutu Israel pada 1994. Pada 2020, Perjanjian Abraham pula ditandatangani antara Israel, Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain.

Di samping itu, beberapa negara lain seperti Jordan, Oman dan Sudan mengadakan hubungan peringkat kerja. Pada 2021, Bangladesh menghapuskan sekatan “kecuali Israel” pada pasportnya, menimbulkan spekulasi ia akan menormalkan hubungan dengan negara Zionis itu tidak lama lagi.

Arab Saudi juga menghantar isyarat positif untuk menormalkan hubungan dengan Israel.

Menurut Al-Jazeera, pada September lalu, Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman berkata negaranya semakin hampir untuk menormalkan hubungan dengan Israel, berikutan langkah serupa daripada beberapa negara Teluk dan di tengah-tengah desakan besar oleh Amerika Syarikat untuk mengikat perjanjian Saudi-Israel.

Malah, sekutu terkuat perjuangan Palestin, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan juga mengambil langkah serupa.

Pada bulan September, selepas pertemuan pertamanya dengan Netanyahu di New York, Erdogan berkata beliau berharap untuk segera memulakan kerjasama dengan Israel mengenai penggerudian telaga minyak dan rangkaian tenaga, serta pelancongan dan teknologi.

Beliau juga berkata beliau menjangkakan Netanyahu akan melawat Turkiye pada Oktober atau November.

Dengan latar belakang negara Islam mula mengambil sikap tidak peduli ini, Israel menjadi semakin samseng, bongkak dan berani.

Lebih banyak tanah dirampas dan diberikan kepada peneroka Yahudi. Pelampau Yahudi mengganggu jemaah yang bersolat, mengotori masjid dengan kotoran dan ludah. Rakyat Palestin yang menentang, termasuk wanita dan kanak-kanak, dipukul atau ditangkap. Beribu-ribu orang dipenjarakan.

Semua ini berlaku tanpa sebarang bantahan daripada negara-negara Islam.

Kebanyakan negara tidak boleh berkata apa-apa atau mengkritik tingkah laku mereka yang tidak beradab. Negara-negara yang sebelum ini menjadi sekutu Palestin, yang boleh memberi tekanan diplomatik dan ekonomi tidak lagi berani mengangkat suara.

Rakyat Palestin yang diabaikan tidak mempunyai pilihan selain mengambil tindakan nekad.

Mereka berjanji mereka akan mempertahankan tanah air mereka. Mereka bersumpah untuk mempertahankan Masjid al-Aqsa. Mereka berulang kali memberi amaran kepada pasukan Zionis untuk menghentikan tindakan tidak berperikemanusiaan mereka.

Mereka tidak mempunyai pilihan selain melawan dan membebaskan tanah air mereka. Mereka yakin, mereka adalah benteng pertahanan terakhir bagi Masjid al-Aqsa.

Oleh itu mereka memutuskan untuk melancarkan operasi Taufan Al-Aqsa pada 7 Oktober sebagai tindak balas kepada pencerobohan Israel yang tidak dibendung.

Ia adalah tindak balas kepada pendudukan dan pencerobohan, bukan serangan terhadap negara lain. Tindak balas defensif dalam menghadapi pencerobohan adalah sesuatu yang sah di sisi undang-undang antarabangsa.

Usaha gigih mereka membuahkan hasil. Walaupun seperti yang dijangkakan, tentera penjajah bertindak balas dengan kekerasan dan banyak nyawa terkorban, konfrontasi terbaru meletakkan wacana Palestin kembali dalam agenda dunia.

Beberapa negara yang berada di ambang normalisasi hubungan dengan negara Zionis menyatakan mereka sedang mengkaji semula kedudukan itu.

Turkiye dan Arab Saudi mengeluarkan kenyataan keras mengutuk pembunuhan beramai-ramai Israel. Majlis Keselamatan PBB juga mengambil sedikit cakna mengenai keseriusan isu itu.

Semakin ramai rakyat di negara yang menyokong Israel membuka mata terhadap pembohongan kerajaan mereka dan media arus perdana mereka. Tunjuk perasaan besar-besaran berlaku membabitkan bukan sahaja penduduk negara-negara Islam, bahkan di hampir setiap negara.

Dalam perkembangan terkini, OIC yang sebelum ini hanya berpeluk tubuh mengadakan mesyuarat khas pada Rabu 18 Oktober lalu.

Kita berdoa agar mesyuarat itu akan membolehkan pertubuhan itu membuat introspeksi sebenar dan mengambil keputusan yang tepat untuk menghalang pencerobohan selanjutnya daripada negara aparteid Israel.

Kenyataan OIC pada akhir mesyuarat luar biasa Menteri-menteri Luar di Jeddah semalam memberikan sedikit harapan kepada rakyat Palestin dan usaha pembebasan Masjid al-Aqsa.

Walaupun kenyataan berkenaan kelihatan seperti retorik, terdapat juga langkah diplomatik yang konkrit.

Persoalannya, adakah tindakan susulan akan dibuat dengan jayanya?

Adakah ini akan menjadi titik tolak kebangkitan semula OIC atau ia akan kekal sebagai pertubuhan yang hanya pandai bercakap dan mengeluarkan kenyataan media? – 22 Oktober, 2023.

* Profesor Dr Omar Yaakob, Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan IKRAM Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen