ISRAEL menyerang dua lapangan terbang utama di Syria pada Ahad, lapor media negara itu yang memetik sumber tentera, menambah kementerian pengangkutan sudah mengalihkan laluan penerbangan ke Latakia.
Walaupun serangan Israel sering kali menyebabkan penerbangan dibatalkan di lapangan terbang di kawal kerajaan di Damsyik dan Aleppo, ini adalah serangan kedua berturut-turut dalam sebulan yang dilakukan ke atas fasiliti itu sejak bermulanya konflik Israel dan Hamas.
“Sekitar jam 5:25 am (0255 GMT), musuh Israel melakukan serangan udara menyasarkan lapangan terbang antarabangsa Damsyik dan Aleppo, menyebabkan kematian seorang pekerja awam di lapangan terbang Damsyik dan mencederakan yang lain,” kata sumber tentera dalam kenyataan disiarkan agensi berita Iran, Sana.
“Kerosakkan di landasan menyebabkan operasi terpaksa dihentikan,” tambah kenyataan. Kementerian pengangkutan pula melaporkan yang penerbangan sudah dialihkan ke lapangan terbang Latakia.
Sumber tentera berkata serangan “serentak” itu datang dari “arah barat Mediterranean Latakia dan dari arah Golan, Syria yang dijajah,” menurut kenyataan.
Pada 12 Oktober lalu, serangan berturut-turut turut menghentikan perkhidmatan di lapangan terbang Damsyik dan Aleppo.
Hujung minggu lepas, Israel menyerang lapangan terbang Aleppo, mencederakan lima orang awam, lapor badan pemantau perang, yang turut menghentikan operasi lapangan, kata pihak berkuasa.
Sejak perang berlaku di Syria sedekad lalu, Israel melancarkan ratusan serangan udara di utara negara jirannya, terutamanya menyasarkan tentera disokong Iran dan pejuang Hezbollah Lubnan serta tentera Syria.
Israel jarang mengeluarkan kenyataan berkaitan serangan dibuatnya di Syria. – AFP, 22 Oktober, 2023.
Komen