Polis akan beku 15 akaun bank ada kaitan dengan pengasas MYAirline


Syarikat penerbangan tambang murah MYAirline menggantung operasinya selepas terbeban dengan isu kewangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2023.

LIMA belas akaun bank dipercayai mempunyai kaitan dengan pengasas bersama MYAirline akan dibekukan pihak polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata kesemua akaun itu dipercayai terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram.

Tambahnya, kesemua akaun tersebut adalah milik individu dan syarikat tertentu.

“Tindakan pembekuan ini perlu melalui beberapa proses dan mengambil sedikit masa,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Pengasas bersama dan pemegang kepentingan majoriti MYAirline Goh Hwan Hua adalah pemilik syarikat Zillion Wealth dan Trillion Cove Holdings yang masing-masing memegang 88% dan 10% kepentingan dalam syarikat penerbangan tambang murah itu.

Goh sebelum ini bersama-sama isterinya berusia 55 tahun dan anak lelakinya berusia 26 tahun direman empat hari di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Da­ripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Tahanan reman Goh dilanjutkan dua hari sehingga esok, bagaimanapun isteri dan anaknya sudah dibebaskan.

Jelas Ramli lagi, polis sudah mengenal pasti beberapa individu lain bagi membantu siasatan.

“Siasatan diteruskan dan JSJK mengenal pasti beberapa lagi individu yang boleh memberi keterangan dalam membantu siasatan kes.

“Adalah lebih baik jika mereka tampil untuk memberi kerjasama untuk mengelakkan sebarang kesulitan.”

Semalam Utusan Malaysia turut melaporkan yang polis sedang berusaha mengenal pasti aset dimiliki ketiga-tiga suspek.

Dilaporkan juga yang polis sedang menyiasat sumber kewangan pengasas dan pemegang saham syarikat penerbangan MYAirline.

Siasatan turut melibatkan sejarah penubuhan syarikat itu. – 22 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen