PUTERA Mahkota yang juga Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Istana Al-Yamamah di Riyadh pada Sabtu.
Pertemuan rasmi empat mata itu adalah atas jemputan peribadi baginda kepada Anwar, selepas Arab Saudi menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Pertama Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di ibu negara itu pada Jumaat.
Putera Mahkota Mohammed dan Anwar membincangkan mengenai perang Palestin dan Israel yang berlanjutan sehingga kini selepas tercetus semula pada 7 Oktober lalu.
Pada sidang kemuncak itu, Putera Mahkota dan Anwar senada dalam membangkitkan kebimbangan mereka berhubung kezaliman dan penindasan Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza.
Pada pertemuan hari ini, kedua-dua pemimpin berkenaan turut membincangkan beberapa isu berkaitan kepentingan bersama termasuk peluang pembangunan kedua-dua negara.
Selain menghadiri Sidang Kemuncak Asean-GCC, lawatan kerja dua hari Anwar yang juga menteri kewangan menyaksikan beliau meneruskan perbincangan bagi mempertingkatkan hubungan dua hala serta ekonomi antara Malaysia dan Arab Saudi.
Pada 5 Oktober lalu, Anwar menerima panggilan telefon daripada Putera Mahkota Mohammed yang menjemput beliau untuk mengadakan lawatan ke Arab Saudi. – Bernama, 21 Oktober, 2023.
Komen