Bomba siap sedia gerakkan aset hadapi monsun timur laut


SEBANYAK 1,144 aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang diperiksa dan diuji hari ini berada dalam keadaan baik, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan Suhaimi Ali@Ahmad.

Beliau berkata, semua aset berkenaan ditempatkan di 337 Balai Bomba dan Penyelamat di seluruh negara dan bersedia untuk digerakkan sekiranya diperlukan terutama ketika monsun timur laut yang dijangka bermula November ini hingga Mac tahun depan.

Suhaimi berkata, antara aset yang diperiksa membabitkan jentera pelbagai fungsi termasuk kenderaan angkut ringan dan angkut berat selain kenderaan marin, aset udara seperti helikopter dan dron.

“Hari ini dilaksanakan pemeriksaan dan pengujian menyeluruh logistik jabatan, kesiapsagaan ini membabitkan keseluruhan keanggotaan dan logistik termasuk koordinasi seperti latihan bersama, aktiviti rondaan dan analisis risiko di titik panas yang dikenal pasti.

“Ia juga turut membabitkan tindakan menganalisis kesan sekunder seperti tanah runtuh, pokok tumbang serta kawasan terputus hubungan yang memerlukan khidmat bantuan daripada jabatan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kesiapsiagaan monsun timur laut JBPM 2023-2024 di Pekan, Pahang hari ini.

Pada majlis berkenaan, turut diadakan persembahan simulasi menyelamat di air, diikuti pelepasan jentera serta aset jabatan sebagai simbolik perasmian.

Mengulas lanjut, Suhaimi berkata sebanyak 750 lokasi dikenal pasti di Pahang sebagai kawasan berisiko banjir selain tiga kawasan berisiko kepala air dan 25 lokasi cerun kritikal.

Terdahulu, beliau dalam ucapannya berkata JBPM menubuhkan 13 pasukan gerak cepat yang ditempatkan di 11 negeri dan dua Wilayah Persekutuan di Semenanjung Malaysia.

Pasukan itu dianggotai seramai 15 orang bagi setiap pasukan dan turut dianggotai pegawai Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan Emergency Medical and Rescue Services (EMRS) yang akan bersedia setiap hari di lokasi yang ditetapkan oleh JBPM negeri.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan secara purata sebanyak 302 kematian akibat lemas dilaporkan setiap tahun dari 2019 hingga tahun lalu dan angka itu jauh lebih tinggi berbanding kematian yang diakibatkan oleh insiden kebakaran.

Justeru, beliau mengingatkan kepada masyarakat terutama ibu bapa supaya memantau aktiviti anak-anak dalam tempoh monsun timur laut. – Bernama, 21 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen