MCA bantu kempen PRK Kemaman, kata timbalan presiden


Timbalan Presiden MCA, Mah Hang Soon berkata parti itu akan membantu Barisan Nasional pada PRK Kemaman. – Gambar Facebook MCA, 21 Oktober, 2023.

MCA sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) akan terus membantu mengharungi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang akan diadakan pada Disember ini, kata timbalan presidennya Mah Hang Soon.

“Seperti biasalah kita (MCA) hadapi beberapa PRK bersama… jadi itulah konsep yang akan kita ambil,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Pemuda MCA ke-59 di Kuala Lumpur hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kemaman, Terengganu pada 2 Disember ini manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 18 dan 28 November.

PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Terdahulu, Mah ketika berucap pada perasmian perhimpunan berkenaan berkata, Pemuda MCA merupakan platform terbaik untuk belajar dan membina ketahanan diri dalam politik selain persiapan menghadapi cabaran lebih getir pada masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Ling Tian Soon berkata, sayap itu perlu menarik lebih ramai keahlian bagi mengembangkan bakat dan menambah baik rangkaian parti.

“Kita mesti bersedia untuk masa depan dan mengukuhkan rangkaian organisasi parti, memanfaatkan bakat sedia ada, mengekalkan komunikasi di peringkat akar umbi di samping memastikan suara MCA didengari,” katanya. – Bernama, 21 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen