PRK Jepak: Jangan salah guna media sosial untuk provokasi, kata polis 


PENGGUNA media sosial diingatkan agar tidak membuat hantaran berunsur provokasi dan hasutan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Mohd Azman Ahmad Sapri berkata siasatan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan undang-undang lain boleh digunakan pihak berkuasa sekiranya didapati wajar.

“Keadaan keselamatan di kawasan Jepak adalah aman dan terkawal… cuma saya mahu nasihatkan pengguna media sosial agar menjadi pengguna yang baik dan tidak mengeluarkan atau menyebarkan perkara tidak betul,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat penamaan calon bagi PRK itu di Dewan Suarah Bintulu hari ini.

Sementara itu, Mohd Azman berkata polis akan memantau sebarang aktiviti perjudian yang dikaitkan dengan PRK Jepak walaupun mereka belum menerima sebarang maklumat lagi berhubung kegiatan itu di Bintulu.

“Memang dalam skop (tugasan) kita. Setakat ini belum ada maklumat yang kita terima (berhubung) betting bagi menentukan keputusan. Kita memang fokuskan juga tentang (perkara) itu,” katanya.

PRK DUN Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon GPS Iskandar Turkee, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing.

PRK DUN Jepak pada 4 November ini diadakan susulan kematian penyandang kerusi itu Talib Zulpilip pada 15 September lepas.

DUN Jepak mempunyai 22,804 pemilih yang terdiri daripada 22,761 pengundi biasa dan 43 anggota polis. – Bernama, 21 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen