4 negeri Perikatan tetap bergantung bantuan persekutuan tarik pelaburan, kata Samsuri 


Menteri Besar Terengganu Dr  Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerjasama sedia ada dengan kerajaan persekutuan akan berterusan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2023.

EMPAT negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN) masih bergantung kepada Kerajaan Persekutuan dalam menarik pelaburan walaupun dengan pembentukan State Government 4 atau SG4.

Menteri Besar Terengganu Dr  Ahmad Samsuri Mokhtar berkata peranan Kerajaan Persekutuan tidak boleh dipertikai mengambil kira pencapaian yang dicapai dan dinikmati semua negeri, termasuk negeri dalam SG4 iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis.

“Di sebalik pembentukan SG4, kita tidak nafikan peranan dan pencapaian yang diperoleh negeri-negeri ini dalam aspek pelaburan hasil kerjasama dengan kerajaan pusat.

“Kerjasama sedia ada akan berterusan dan tidak timbul kita akan hentikan nilai dan aspirasi yang terkandung dalam Perlembagaan negara,” katanya ketika sidang media Empat Menteri Besar SG4  sempena Muktamar Tahunan PAS di Shah Alam hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli. 

Pada September lepas, Ahmad Samsuri mengumumkan Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis dalam proses membentuk “kumpulan empat negeri” berkenaan. – Bernama, 21 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen