ISRAEL menggesa rakyatnya segera meninggalkan Mesir dan Jordan, kata majlis keselamatannya pada Sabtu ketika ketegangan serantau memuncak berhubung perang di Gaza.
“Majlis Keselamatan Negara Israel menaikkan amaran perjalanannya untuk Mesir (termasuk Sinai) dan Jordan ke tahap 4 (ancaman tinggi): saranan untuk tidak pergi ke negara-negara ini dan bagi mereka yang tinggal di sana untuk meninggalkannya… secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan.
Notis itu dibuat hanya beberapa hari selepas Israel memanggil semula diplomatnya dari Turki sebagai langkah keselamatan berikutan permintaan awal agar rakyatnya meninggalkan negara itu.
Arahan itu dibuat selepas beberapa hari protes di seluruh Timur Tengah berhubung pengeboman Israel di Semenanjung Gaza.
Israel melancarkan operasi pengeboman di Gaza yang setakat ini mengorbankan 4,137 rakyat Palestin yang kebanyakannya orang awam.– AFP, 21 Oktober, 2023.
Komen