PAS perlu ubah pendekatan menangi undi bukan Melayu, kata penganalisis


Alfian Z.M. Tahir

PAS perlu mengubah pendekatan haluan kanannya untuk memenangi undi bukan Melayu, kata pemerhati politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2023.

TERDAPAT dua perkara yang PAS boleh lakukan untuk tarik sokongan bukan Melayu dalam pilihan raya umum akan datang - sertai kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim dan lepaskan pendekatan haluan kanannya, kata pemerhati politik.

Mereka berkata demikian sebagai membalas gesaan Presiden PAS Abdul Hadi Awang agar partinya mengorak langkah untuk memenangi undi bukan Melayu dan bukan Islam dalam usaha merampas kuasa persekutuan pada pilihan raya umum akan datang.

Presiden PAS ketika berucap pada muktamar parti pada Jumaat berkata penting bagi parti itu untuk mengatasi kelemahan ini jika mahu berkuasa.

Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata jalan keluar mudah untuk PAS mendapat sokongan bukan Melayu ialah dengan menerima tawaran Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menyertai kerajaan perpaduan.

Beliau berkata, jika PAS tidak boleh menerimanya, parti itu boleh menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Bekalan (CSA) untuk menyokong kerajaan perpaduan.

“Jika mereka mahukan sokongan orang bukan Melayu, mereka patut terima tawaran Anwar untuk menyertai kerajaan perpaduan. Itulah satu-satunya cara yang saya lihat untuk PAS mendapat sokongan daripada orang bukan Melayu dan bukan Islam.

“Malah Lim Kit Siang berkata sesuatu tentang PAS menyertai kerajaan. PAS tidak boleh bergantung kepada Gerakan kerana mereka tidak mendapat sokongan (bukan Melayu). DAP ada.

“Jika mereka tidak dapat menyertai, sekurang-kurangnya mereka boleh mengadakan CSA atau MoU untuk menyatakan sokongan mereka kepada Anwar. Dengan ini, orang bukan Melayu akan melihat PAS sebagai parti yang sederhana, tidak terlalu tegas atau konservatif atau paling kanan,” katanya.

Mazlan menyokong hujahnya dengan menyatakan PAS hanya memerlukan 7-8% undi bukan Melayu untuk mengukuhkan kedudukannya di negara ini.

“PAS tidak perlu mendapat banyak kerana ia tidak akan bertanding di banyak kerusi bandar. Mereka hanya perlukan sokongan di kerusi Melayu yang mempunyai pengundi bukan Melayu yang ketara. Lapan peratus sudah memadai,” katanya.

Dalam temu bual dengan majalah Time baru-baru ini, Anwar berkata pentadbirannya masih bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan PAS, tetapi akan menetapkan had apabila menyentuh soal semangat agama.

Anwar bercakap mengenai kebangkitan retorik konservatif di kalangan rakyat Malaysia yang berpunca daripada persekitaran politik semasa dan pendirian PAS yang semakin tegar.

Bagaimanapun, Anwar memberitahu majalah antarabangsa itu bahawa beliau masih belum menerima penolakan yang jelas atau respons positif daripada PAS setakat ini.

Pada pilihan raya umum 2022, PAS dan sekutunya dalam Perikatan Nasional menawan 73 kerusi Parlimen manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi.

PH membentuk kerajaan perpasuan dengan Barisan Nasional, yang hanya memenangi 30 kerusi, Gabungan Parti Sarawak (23) dan Gabungan Rakyat Sabah (6).– 21 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen