SELEBRITI ternama Hollywood termasuk Cate Blanchett, Joaquin Phoenix, Ramy Youssef dan Andrew Garfield menghantar surat kepada Presiden AS Joe Biden pada Jumaat, mendesaknya supaya memanggil gencatan senjata diadakan dalam perang Israel-Hamas.
Dalam surat itu, puluhan bintang ternama dunia hiburan itu meminta Biden berusaha bagi mencapai “gencatan senjata dan meredakan keadaan serta merta di Gaza dan Israel sebelum lebih ramai terkorban.”
“Kami menggesa pentadbiran anda dan semua pemimpin dunia untuk menghormati semua nyawa di Tanah Suci dan mendesak dan memudah cara gencatan senjata untuk berlaku tanpa bertangguh lagi- menamatkan pengeboman Gaza dan membebaskan tebusan,” kata surat itu yang disiarkan artists4ceasefire.org.
“Menyelamatkan nyawa adalah kewajiban moral.”
Israel berikrar untuk memusnahkan Hamas selepas kumpulan itu melancarkan serbuan mengejut dari Gaza pada 7 Oktober, membunuh sekurang-kurangnya 1,400 orang yang kebanyakannya orang awam, menurut pegawai Israel.
Dalam tindak balas ke atas serangan Hamas, Israel mengebom dan memusnahkan keseluruhan bandar di Gaza dalam persediaan untuk melancarkan penjajahan darat yang akan dilakukan tidak lama lagi.
Kementerian Kesihatan diurus Hamas berkata lebih 4,000 warga Palestin yang kebanyakannya orang awam terbunuh dalam serangan dibuat Israel.
Surat pada Jumaat yang turut ditandatangani Jon Stewart, Dua Lipa, Susan Sarandon dan Channing Tatum dikeluarkan seminggu selepas ratusan selebriti Hollywood menandatangani surat terbuka mengecam “tindakan barbarik” dilakukan Hamas. – AFP, 21 Oktober, 2023.
Komen