PRESIDEN Korea Selatan Yoon Suk Yeol akan memulakan lawatan negara ke Arab Saudi dan Qatar pada Sabtu dengan kerjasama ekonomi menjadi agenda utama, lapor Agensi Berita Yonhap.
Yoon akan melawat Riyadh dari Sabtu hingga Selasa dan mengadakan sidang kemuncak dengan Putera Mahkota Arab Saudi yang juga Perdana Menteri Mohammed bin Salman sebelum menghadiri pelbagai acara ekonomi.
Presiden itu kemudian akan melawat Doha dari Selasa hingga Rabu dan mengadakan sidang kemuncak dengan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.
Beliau akan menjadi presiden Korea Selatan pertama yang mengadakan lawatan rasmi ke kedua-dua negara berkenaan.
Arab Saudi dan Qatar bersama-sama menyumbang 38 peratus daripada import minyak mentah Korea Selatan dan 21 peratus daripada import gas.
Yoon akan disertai oleh delegasi perniagaan seramai 130 anggota ke Arab Saudi manakala delegasi perniagaan sebanyak 59 anggota ke Qatar, menurut setiausaha kanan presiden bagi hal ehwal ekonomi, Choi Sang Mok.
Delegasi ke Riyadh turut disertai Pengerusi Eksekutif Samsung Electronics Lee Jae-yong, Pengerusi Eksekutif Hyundai Motor Group Euisun Chung, Pengerusi Kumpulan GS Huh Tae-soo dan pemimpin konglomerat lain.
Yoon akan berlepas pulang ke Korea Selatan pada Khamis. – Bernama, 21 Oktober, 2023.
Komen