Ahli Parlimen Tanah Merah tolak maaf jurugambar PM


Gambar Ahli Parlimen Tanah Merah Ikmal Hisham Abdul Aziz yang didakwa menghisap vape di Dewan Rakyat tular, beliau bagaimanapun menafikan ia adalah vape. – Gambar X Sadiq Asyraf, 21 Oktober, 2023.

AHLI Parlimen Tanah Merah Ikmal Hisham Abdul Aziz menolak permohonan maaf jurugambar Sadiq Asyraf yang mendakwanya menghisap vape di Dewan Rakyat kerana pernyataan maaf itu tidak menepati syarat, kata peguamnya.

Peguam Mohamad Siddiq Mohd Azani berkata beliau mendapat arahan daripada anak guamnya untuk tidak menerima permohonan maaf daripada jurugambar kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu kerana “tidak mengikut kehendak”.

“Yang Berhormat Ikmal tidak terima (permohonan maaf Sadiq) kerana permohonan maaf tidak mengikut kehendak. Kita tidak mahu pernyataan ‘sekiranya ada salah tanggap’ kerana memang itu bukan vape.

“Kita mahu dia mengaku silap, mengaku itu bukan vape,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Semalam, Sadiq membuat permohonan maaf melalui platform X (dulu dikenali Twitter) namun tidak menyebut ditujukan kepada siapa, selain menyifatkan hantarannya yang jadi pertikaian itu sebagai “salah tanggapan”.

“Saya memohon maaf kepada saudara YB Datuk Seri sekiranya ada salah tanggapan bahawa objek yang dipegang beliau adalah vape.

“Berharap agar segala salah faham kini telah diselesaikan secara harmoni,” tulisnya di X, semalam.

Pada 19 September, Sadiq memuat naik foto Ikmal hendak keluar dari Dewan Rakyat dengan kapsyen: “Betul-betul koyak terus tarik vape sambil keluar dewan.”

Susulan itu, Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin meminta penjelasan daripada Ikmal mengenai kejadian yang berlaku pada hari sama dengan kekecohan di Dewan Rakyat antara Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin dan perdana menteri.

Dalam penjelasannya, Ikmal menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu kerana beliau bukan perokok.

“Ketika itu, saya hanya pegang sebatang pen yang diletakkan pada bibir secara spontan, namun telah disalahertikan,” katanya.

Beliau juga meminta speaker Dewan Rakyat Johari Abdul untuk meneliti rakaman CCTV dan membersihkan namanya.

Ikmal kemudian menghantar notis tuntutan permohonan maaf bertarikh 22 September kepada Sadiq melalui peguamnya Tetuan Siddiq Azani & Co.

Dalam tuntutannya, beliau menegaskan dakwaan Sadiq tidak betul, cabul, terang-terangan dusta dan berniat mendedahkan dirinya kepada kecaman umum.

Ikmal menuntut Sadiq membuat menarik balik tuduhannya dan membuat permohonan maaf secara terbuka serta tidak mengulanginya lagi. – 21 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen