NGO Islam ajak kedai, pasar raya boikot produk keluaran Israel


Diyana Ibrahim

Ribuan rakyat Palestin maut termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas sejak serangan agresif dilancarkan tentera Israel pada 7 Oktober. – Gambar EPA, 21 Oktober, 2023.

VENDOR, pemilik kedai dan pasar raya turut perlu mengelak dari menjual produk keluaran Israel sebagai tanda membantah kekejaman rejim Zionis ke atas Palestin, kata NGO Islam.

Mereka berkata sudah sampai masanya kempen boikot itu diadakan secara agresif bersama pengguna untuk menguatkan mesej Malaysia membantah kekejaman itu.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Nadzim Johan berkata pihaknya akan memuktamadkan senarai produk tersebut dalam dua hari lagi.

“Kita dah ada senarai produk cuma ada beberapa lagi yang kita masih teliti,” katanya.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata antara jenama yang disasarkan ialah produk minuman ringan Coca-Cola yang pernah menaja anugerah untuk satu badan Israel.

Katanya, badan tersebut, Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika Israel (AIPAC) didakwa melobi agar gencatan senjata dirundingkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2009.

Lobi tersebut juga seterusnya berjaya meluluskan serangan ketenteraan Israel terhadap Gaza pada tahun itu, katanya.

Turut tersenarai untuk dijadikan sasaran boikot jenama sukan Puma kerana menjadi penaja tunggal antarabangsa Persatuan Bolasepak Israel (IFA).

Nadzim berkata boikot itu tidak mustahil dilakukan biarpun mereka menentang jenama besar dan antarabangsa asalkan semua pihak bersatu menunjukkan solidariti.

“Kita boleh buat, saya sarankan vendor ini jangan ambil produk mereka dan produk sedia ada itu letak sahaja dekat stor.

“Pengguna pun kena mainkan peranan kena belajar berkorban. Kita kena berdiri bersama kerana ini adalah kekuatan pengguna,” katanya.

Tambah Nadzim, puluhan NGO pro Melayu Islam akan bersama dengan PPIM untuk menggerakkan kempen tersebut.

Ketua Aktivis PPIM Nadzim Johan berkata peniaga digalakkan elak menjual produk keluaran Israel sebagai tanda membantah kekejaman rejim Zionis ke atas Palestin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2023.

Namun boikot ke atas beberapa perniagaan masih dinilai termasuk jenama francais makanan segera McDonald’s ekoran tindakan syarikat itu di luar negara yang menyokong Israel, katanya.

Jenama itu masih diteliti untuk diboikot kerana pegangannya dalam negara, McDonalds Malaysia mengumumkan syarikat itu sudahpun mula membayar zakat perniagaan di sini sejak 2017.

“Sebab biarpun mereka kata bantu bayar zakat sekalipun tapi kita tengok pihak mana yang dapat duit, dan ada tidak mereka membantah tindakan Israel.

“Kalau mereka bayar zakat tapi lesen itu mereka perlu bayar pengendali di Israel bagi kita sama saja,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Seruan untuk rakyat Malaysia memboikot produk dan syarikat yang menyumbang kepada ekonomi Israel dibangkitkan Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor.

Beliau berkata terdapat syarikat atau restoran yang menderma makanan secara percuma kepada tentera Israel yang menyerang rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Mufti itu merujuk kepada tindakan McDonald’s Israel mengedarkan makanan secara percuma kepada tentera dan warga Israel selepas pejuang Hamas melakukan serangan.

Malaysia mengutuk keras tindakan rejim zionis mengebom Gaza dengan sumbangan dikumpulkan dan bantuan diusahakan untuk dihantar kepada rakyat Palestin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2023.

Namun McDonald’s Malaysia menafikan mereka turut terkait dengan menyalur bantuan kepada Israel.

Seorang pengarah McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata mereka tidak menyumbang, menyokong atau terlibat dalam konflik politik mahupun agama di mana-mana negara.

Malah katanya McDonald’s  Malaysia menyokong keamanan di Gaza dengan sumbangan RM1 juta kepada Dana Kemanusiaan Palestin yang ditubuhkan Jabatan Perdana Menteri.

Usaha untuk menyokong program boikot produk Israel turut mendapat Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, Abim bagaimanapun mengutamakan bantahan kepada kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).

“Minggu lepas kita hantar memorandum di kedutaan Amerika Syarikat. Dan esok Abim akan hantar memorandum di kedutaan Kesatuan Eropah (EU).

“Abim membantah serangan yang berlaku di hospital Gaza dan menyuarakan isu tiada jaminan keselamatan dan kemanusiaan bagi rakyat Palestin,” katanya.

Selain itu beliau berkata Abim juga menggerakkan dana tabung kemanusiaan bagi rakyat Palestin.

“Kita lancarkan kutipan derma untuk menghantar bantuan kepada rakyat Palestin. Ikut perkembangan di sana kita masih boleh hantar bantuan kerana Abim ada wakil di sana.

“Tapi bantuan kita bukanlah skala yang besar. Ada cara dan kaedah untuk menghantar bantuan,” katanya. – 21 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen