AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan tiga bot nelayan Indonesia bersama 16 warga negara itu kerana menceroboh dan mencuri hasil laut di perairan negara, semalam dan Rabu.
Pemangku Pengarahnya, Komander Maritim S.Mak Rong berkata dalam kejadian semalam, kapal APMM KM Burau mengesan dua bot nelayan asing sedang bergerak dalam perairan Malaysia dan meminta berhenti di kedudukan 42 batu nautika barat daya Pulau Kendi.
“Hasil pemeriksaan awal pada bot pertama terdapat lima kru termasuk tekong warga Indonesia berusia lingkungan 18 hingga 60 tahun.
“Di bot kedua pula, terdapat seramai enam orang termasuk tekong Indonesia berusia antara 27 hingga 41 tahun di posisi yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain dua bot tersebut, katanya KM Burau juga menahan sebuah bot nelayan asing di sekitar 77 kilometer barat Pulau Kendi Rabu lepas dan menahan lima kru berusia 20 hingga 41 tahun.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua nelayan itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan ketiga-tiga bot tersebut juga didapati menceroboh perairan negara bagi tujuan menangkap ikan.
Beliau berkata mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan dalam perairan negara tanpa permit dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki permit yang sah. – Bernama, 20 Oktober, 2023.
Komen