Pasaran China terus jadi tumpuan konglomerat asing 


Kebanyakan konglomerat asing di China optimistik terhadap pasaran negara Tembok Besar itu.– Gambar EPA, 20 Oktober, 2023.

DATA ekonomi China untuk tiga suku pertama 2023 yang dikeluarkan pada Rabu menyaksikan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.2% tahun ke tahun, dengan mencatat RMB91.3 trilion (RM59.6 trilion).

Pada masa yang sama, jumlah jualan runcit barangan pengguna masyarakat China meningkat sebanyak 6.8% tahun ke tahun kepada RMB34.2 trilion (RM22.3 trilion), menyumbang 83.2% kepada pertumbuhan ekonomi, serta memacu pertumbuhan KDNK sebanyak 4.4 mata peratusan.

Perangkaan itu menandakan peluang pasaran besar bagi pelaburan asing.

Menurut laporan kaji selidik Price Waterhouse Coopers pada Selasa, kebanyakan konglomerat asing di China optimistik terhadap pasaran negara Tembok Besar itu.

Saiz pasaran yang besar, kepesatan pertumbuhan ekonomi dan pengiktirafan dalam kalangan pengguna menjadi tiga tarikan utama bagi konglomerat asing terus melabur di China.

Statistik diumumkan Kementerian Perdagangan China menunjukkan bahawa jumlah syarikat pelaburan asing baharu yang ditubuhkan di China dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, meningkat sebanyak 33% tahun ke tahun, iaitu sebanyak 33,154 syarikat.

Pelaksanaan kontrak pelaburan asing dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi pula menokok 19.7% tahun ke tahun, manakala sektor pembangunan dan penyelidikan industri perkhidmatan reka bentuk menyaksikan peningkatan sebanyak 57.1% tahun ke tahun.

Selain pasaran pengguna, perdagangan luar China khususnya dagangan antara China dan negara-negara yang terlibat dalam pembangunan bersama Inisiatif Jalur dan Laluan(BRI) membantu memastikan kelancaran rantaian perindustrian dan bekalan global.

China turut berhasil mengekalkan perdagangan luar yang akomodatif dan stabil.

Import dan eksport China dengan negara-negara yang terlibat dalam BRI meningkat sebanyak 3.1%, menyumbang 46.5% kepada jumlah keseluruhan import dan eksport negara ini.

Pameran Import dan Eksport China ke-34 yang sedang berlangsung di China berjaya menarik penyertaan pembeli dari lebih daripada 200 buah negara dan wilayah di seluruh dunia.

Lebih 3,400 perusahaan dari 128 negara dan wilayah dijangka mengambil bahagian dalam Ekspo Import Antarabangsa China edisi keenam yang bakal diadakan pada awal November. – Bernama, 20 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen