PENGARAH Amanda Nell Eu kecewa selepas banyak babak penting dalam filem ‘Tiger Stripes’ yang mula ditayangkan di pawagam tempatan mulai semalam dipotong.
Dalam satu kenyataan di Facebook hari ini, Eu berkata filem arahannya yang ditapis oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) itu “bukan filem yang memenangi hadiah utama pada Minggu Kritik Festival Filem Cannes, Perancis”.
“Saya bukan mahu menyerang lembaga penapisan, tetapi saya ingin menyatakan bahawa filem yang akan ditayangkan di pawagam tempatan bukanlah filem yang kami hasilkan, dan bukanlah filem yang memenangi Grand Prize of Critics Week di Cannes,” katanya.
Tiger Stripes ialah filem cereka mengenai Zaffan, seorang remaja perempuan berusia 12 tahun yang dipulau rakan sekolahnya kerana dianggap pelik.
“Apa yang telah potong daripada filem ini adalah babak kegembiraan menjadi seorang remaja perempuan di Malaysia. Seorang gadis muda yang mungkin berbeza daripada yang lain, disalah erti, atau mempunyai dorongan untuk mengekspresikan dirinya dengan cara yang berbeza daripada orang lain – yang sangat lurus dan ingin tahu tentang dunia di sekelilingnya serta berjuang untuk kewujudannya di dunia ini,” jelas Eu.
Katanya beliau kecewa babak yang memaparkan remaja seperti watak Zaffan perlu ditapis daripada tontonan umum. – 20 Oktober, 2023.
Komen