Kadar inflasi mereda pada 1.9% bagi September 2023


Kadar inflasi mereda kepada 1.9% didorong kenaikan lebih rendah bagi kumpulan restoran dan hotel iaitu 4.4% manakala makanan dan minuman bukan alkohol pada 3.9%, kata Jabatan Perangkaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2023.

KADAR inflasi Malaysia terus mereda kepada 1.9% pada September 2023 daripada 2% pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Mata indeks bagi September 2023 mencatat 130.8 berbanding 128.3 pada tempoh sama 2022.

Ketua Perangkawan Malaysia Dr Mohd Uzir Mahidin berkata keadaan itu didorong oleh kenaikan lebih rendah bagi kumpulan restoran dan hotel iaitu 4.4% manakala makanan dan minuman bukan alkohol pada 3.9%.

Ini turut disumbangkan oleh kenaikan sederhana bagi kumpulan pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.5%), kesihatan (2.2%), pendidikan (2%), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.6%), hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (1.5%).

“Minuman alkohol dan tembakau serta perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan masing-masing meningkat sebanyak 0.7% dan 0.6%,” katanya dalam kenyataan media Indeks Harga Pengguna (IHP) September 2023 yang dikeluarkan hari ini.

Uzir berkata kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5% daripada keseluruhan wajaran IHP mencatat peningkatan sederhana 3.9% daripada 4.1% pada Ogos 2023.

Beliau berkata makanan di rumah merekodkan peningkatan 2.5% berbanding 2.9% pada bulan sebelumnya, didorong terutamanya oleh subkumpulan beras, roti dan bijirin lain (4.1%) manakala komponen makanan di luar rumah kekal pada 5.9% yang menyamai kadar pada Ogos 2023.

Selain itu, inflasi keseluruhan secara bulanan pada September 2023 meningkat 0.1%, disumbangkan oleh minuman alkohol dan tembakau serta pelbagai barangan dan perkhidmatan yang masing-masing naik 0.4% dan 0.2%.

Uzir nerlata inflasi bagi suku tahun ketiga 2023 meningkat 2% kepada 130.7 berbanding 128.1 pada suku tahun sama tahun sebelumnya.

Bagi perbandingan suku tahunan pula, inflasi meningkat 0.4%, kadar sama direkodkan pada suku tahun kedua 2023.

“Inflasi teras kekal pada 2.5% kadar yang sama yang direkodkan pada Ogos 2023, namun ianya masih melepasi kadar inflasi negara (1.9%).

“Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol iaitu kenaikan 5.1%. ini diikuti oleh kumpulan restoran dan hotel (4.4%) dan pengangkutan (2.9%),” katanya.

Dari segi perbandingan dengan negara-negara lain, inflasi 1.9% pada September di Malaysia adalah lebih rendah berbanding Filipina (6.1%), Zon Eropah (4.3%), Korea Selatan (3.7%), Vietnam (3.7%), Amerika Syarikat (3.7%) dan Indonesia (2.3%). – Bernama, 20 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen