PRK Jepak: Tiada pusat mengundi awal dibuka pada 31 Okt


Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Jepak berkata kesemua 43 anggota polis yang mengundi awal pada PRK itu akan menggunakan sistem undi pos. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2023.

TIADA pusat mengundi awal akan dibuka pada hari pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak 31 Oktober ini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Jepak Abang Zainuddin Abang Turkey berkata ini kerana kesemua 43 anggota polis yang mengundi awal pada PRK itu akan menggunakan sistem undi pos.

“Tiada pusat pengundian awal akan dibuka… cuma undi pos sahaja,” katanya kepada pemberita selepas sesi simulasi proses penamaan calon PRK Jepak di Dewan Suarah Bintulu hari ini.

Abang Zainuddin berkata sebanyak sembilan borang penamaan calon bagi PRK itu sudah terjual setakat ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Jepak pada 4 November ini, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 21 dan 31 Oktober.

PRK DUN Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lepas.

PRK itu menyaksikan seramai 22,804 orang pemilih yang terdiri daripada 22,761 pengundi biasa dan 43 anggota polis. – Bernama, 20 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen