Mangsa lemas ke-2 meninggal dunia selepas 6 hari koma


SEORANG lagi pelajar lelaki mangsa lemas di Pantai Mutiara, Kem Terendak meninggal dunia malam tadi, selepas enam hari koma dan mendapatkan rawatan di Hospital Melaka di Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata mangsa Mohamad Lukhman Aliff Mokhtar,16, disahkan meninggal dunia kira-kira 10 malam, dipercayai lemas dan mengalami kematian otak.

“Pada 13 Oktober lepas mangsa dibawa dengan ambulans Hospital Kem Terendak ke bahagian kecemasan Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Sepanjang rawatan mangsa mendapat bantuan pernafasan dan pemeriksaan secara berkala oleh pihak hospital mendapati pelajar tersebut mengalami kematian otak akibat kekurangan oksigen dan disahkan meninggal dunia oleh doktor yang merawat di wad tersebut,” katanya dalam kenyataan di Melaka, hari ini.

Mengulas lanjut, Christopher berkata pihaknya dimaklumkan jenazah akan dibawa balik ke Pasir Mas, Kelantan untuk dikebumikan.

Lukhman Aliff merupakan kawan baik kepada Faris Darwisy Mohd Faizal, 16, yang meninggal dunia dalam kejadian petang 13 Oktober ketika cuba menyelamatkan rakannya itu di pantai berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar lelaki tingkatan empat ditemukan lemas ketika cuba menyelamatkan rakannya semasa mandi-manda di pantai Mutiara Kem Terendak, pada petang Jumaat minggu lepas.

Mangsa pergi ke pantai bersama 14 pelajar dan dua guru Sekolah Menengah Kebangsaan Kem Terendak pada kira-kira 6 petang untuk meraikan hari terakhir guru pelatih yang mengajar di sekolah mereka. – Bernama, 20 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen