PERDANA Menteri Britain Theresa May berdepan dengan cabaran terbesar politiknya selepas parti Konservatif kehilangan majoriti kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum negara itu menimbulkan desakan untuk beliau meletakkan jawatan ketika perbincangan Brexit masih lagi berlangsung.
Nilai mata wang Britain, pound, jatuh mendadak kerana wujud kebimbangan pemimpin parti Konservatif itu tidak boleh membentuk kerajaan dan mungkin terpaksa meninggalkan tampuk kuasa negara selepas kempen pilihan raya yang dibayangi dua serangan pengganas.
May yang memenangi kerusi Parlimen dengan peningkatan majoriti di Maidenhead, London berkata Britain “memerlukan tempoh kestabilan” ketika negara itu sedang bersedia melakukan proses rumit pengunduran daripada Kesatuan Eropah (EU).
Beliau berkata, walaupun keputusan penuh pilihan raya masih belum dikeluarkan, partinya kelihatan memenangi kebanyakan kerusi dan “sangat penting bagi kami memastikan kita mempunyai tempoh kestabilan”.
Bagaimanapun pemimpin haluan kiri Parti Buruh, Jeremy Corbyn mendesak May meletakkan jawatan dan berkata yang beliau sudah “hilang undi, hilang sokongan dan hilang keyakinan” selepas parti
Konservatif gagal mempertahankan kebanyakan kerusinya.
Bekas menteri parti Konservatif Anna Soubry yang turut berjaya mengekalkan kerusinya berkata May berada “dalam situasi sukar” susulan” kempen (pilihan raya) buruk”.
Dengan hanya beberapa kerusi yang masih belum diumumkan, parti Konservatif dijangka menang dengan 319 kerusi, berbanding 331 pada 2015.
Secara pengiraanya mereka tidak akan mampu mendapat 326 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan majoriti, bermaksud perlu membentuk pakatan rasmi atau tidak rasmi dengan parti lain bagi melaksanakan agenda parti Konservatif.
Parti Buruh pula dijangka memenangi 260 kerusi berbanding 229 sebelum ini, menyebabkan tiada pihak yang menguasai Parlimen dengan kerusi majoriti. – AFP, 9 Jun, 2017.
Komen