Rakyat Malaysia boleh salur sumbangan ke Palestin menerusi akaun AAKRP


Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) bagi membantu mengurangkan penderitaan rakyat Palestin akibat konflik terbaru yang berlaku di Semenanjung Gaza. – Gambar EPA, 19 Oktober, 2023.

RAKYAT Malaysia boleh menyalurkan sumbangan melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) bagi membantu mengurangkan penderitaan rakyat Palestin akibat konflik terbaru yang berlaku di Semenanjung Gaza.

Kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) hari ini menyebut sumbangan yang dibuat melalui AAKRP adalah layak dituntut sebagai potongan cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

Sumbangan boleh dibuat ke akaun CIMB Islamic Bank Berhad (86-0030248-9) dan sebarang pertanyaan boleh dirujuk kepada Sekretariat AAKRP melalui alamat emel, [email protected].

AAKRRP ditubuhkan di bawah seliaan Wisma Putra dengan mandat untuk mengumpul, menyelaras dan menyalurkan sumbangan kemanusiaan daripada rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin.

Terdahulu Bernama melaporkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kutipan AAKRP kini berjumlah RM81 juta dan menghampiri sasaran RM100 juta.

Berucap pada majlis penyampaian sumbangan tabung AAKRP di Putrajaya hari ini Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kutipan besar dalam tempoh masa singkat itu menunjukkan solidariti Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Anwar turut mengingatkan pihak yang mengutip derma untuk rakyat Palestin supaya sentiasa bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan untuk kepentingan diri masing-masing. – Bernama, 19 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen