Kerajaan bincang harga susulan India lulus eksport 170,000 tan beras, kata Mat Sabu


Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata kementerian akan mengadakan perbincangan berkaitan harga susulan pengumuman Kerajaan India yang meluluskan eksport 170,000 metrik tan beras putih bukan Basmati ke Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2023.

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan mengadakan perbincangan termasuk berkaitan harga susulan pengumuman Kerajaan India yang meluluskan eksport 170,000 metrik tan beras putih bukan Basmati ke Malaysia.

Menterinya Mohamad Sabu berkata beberapa perkara perlu diperincikan sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.

“Kita akan lihat dahulu berapa harganya sebelum buat apa-apa perubahan di Malaysia kerana ini baharu di peringkat persetujuan, akan ada peringkat seterusnya iaitu rundingan harga dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Prapelancaran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2023 Kuala Lumpur hari ini.

Semalam Kerajaan India meluluskan eksport 170,000 tan metrik beras putih bukan Basmati kepada Malaysia sebagai tanda persahabatan istimewa antara kedua-dua negara.

Menurut Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur, keputusan itu juga mencerminkan hubungan rapat antara India dan Malaysia dan selaras dengan dasar berterusan India untuk menyokong usaha kerajaan di negara-negara sahabat dalam menjaga keterjaminan makanan domestik.

Keputusan untuk membenarkan peruntukan khas beras putih ke Malaysia dimaklumkan oleh Menteri Luar India Dr S. Jaishankar kepada Menteri Luar Malaysia Dr Zambry Abdul Kadir melalui panggilan telefon pada hari yang sama. – Bernama, 19 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen