TEKSI robot tanpa pemandu yang dibangunkan oleh anak syarikat GM Cruise akan berada di jalan raya Tokyo pada 2026, lapor agensi berita dpa.
GM bekerjasama dengan pengeluar kereta Jepun, Honda dalam projek itu, menurut syarikat itu.
Honda membantu membangunkan kenderaan Origin pandu sendiri yang akan digunakan dalam perkhidmatan robotaxi Cruise, di Amerika Syarikat (AS) pada peringkat awal. Origin tidak mempunyai stereng atau pedal.
Cruise kini aktif di San Francisco dan di beberapa bandar AS yang lain. Sehingga kenderaan Origin sedia untuk digunakan, syarikat itu menggunakan kereta elektrik model Chevrolet Bolt GM yang diubahsuai.
Pada peringkat awal, 500 kenderaan Origin akan dibangunkan di AS untuk dihantar ke Tokyo.
Ujian pertama dijadualkan tahun depan dan operasi komersial dijangka bermula pada awal 2026 selepas memperoleh kelulusan yang diperlukan. – Bernama, 19 Oktober, 2023.
Komen