Kerajaan Republik Czech terselamat daripada undi tidak percaya


Kerajaan liberal-konservatif pimpinan Perdana Menteri Republik Czech, Petr Fiala terselamat daripada undi tidak percaya. – Gambar EPA, 19 Oktober, 2023.

KERAJAAN liberal-konservatif pimpinan Perdana Menteri Republik Czech, Petr Fiala terselamat daripada undi tidak percaya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Hanya 85 ahli Parlimen mengundi usul itu pada pagi Khamis. Sebanyak 101 undi diperlukan untuk usul itu berjaya.

Parti pembangkang ANO dipimpin bekas perdana menteri dan jutawan Andrej Babis memfailkan usul itu selepas diketahui Menteri Dalam Negeri Vit Rakusan secara peribadi memiliki telefon mudah alih dengan aplikasi enkripsi (penyulitan data) yang juga dikenali sebagai telefon kripto.

Menteri itu bagaimanapun berkata beliau tidak berasa bersalah.

“Sebuah telefon dengan aplikasi enkripsi (penyulitan data) tidak menjadikan seorang individu sebagai mafioso (ahli kumpulan mafia),” kata pemimpin berusia 45 tahun itu di X.

Gabungan lima parti itu mula mentadbir Republik Czech sejak Disember 2021. – Bernama, 19 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen